Home » Citra Yadim » Dakwah di atas rel

Dakwah di atas rel

Salah seorang FMD, Mohamad Firdaus bin Idris menyampaikan risalah dan berbual dengan penumpang

KUALA LUMPUR – Program dakwah kini tidak lagi boleh dilaksanakan secara stereotaip iaitu dengan  cara berceramah di masjid dan surau sahaja, sebaliknya ia perlu diadakan dalam bentuk yang kreatif dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Pendekatan bersahaja dan santai melalui dakwah lapangan adalah antara pendekatan yang boleh dilaksanakan dan ia bukan sahaja membolehkan para daie mendekati masyarakat tetapi juga menjawab terus pelbagai persoalan yang mungkin ingin diutarakan.

Inilah yang dihasratkan melalui program Daie Pintar oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang menganjurkan program dakwah menggunakan perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) baru-baru ini.

“Program ini adalah sebahagian daripada latihan dakwah melalui program Felo Muda Dakwah (FMD) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada felo-felo muda ini bagaimana melaksanakan dakwah dalam masa yang singkat dan menyantuni pelbagai bangsa dan agama,’’ kata  Penyelaras Felo Mudah Dakwah Yadim, Sabir Abdul Ghani.

Beliau berkata, melalui program ini, para FMD berkenaan dapat mengaplikasikan kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari selama tiga bulan seperti komunikasi berkesan, pengurusan program dan bagaimana berinteraksi dengan pihak luar.

Dalam program ini, para FMD ini telah mula berkumpul di Stesen KL Sentral seawal pukul 7 pagi dengan menyampaikan tazkirah ringkas kepada penumpang-penumpang yang sedang menunggu sambil diiringi dengan persembahan buskers serta deklamasi sajak mengenai perpaduan.

Majlis perlepasan kemudiannya disempurnakan oleh Yang Dipertua Yadim, Dr Yusri Mohamad. Seramai 32 orang FMD yang terlibat telah meneruskan aktiviti dakwah di dalam tren yang menuju ke Ipoh.

“Di dalam tren, para FMD mengedarkan risalah dakwah, kit musafir, kit ruqsah solat serta menyantuni orang bukan Islam dengan menyampaikan mesej-mesej berkaitan perpaduan masyarakat Malaysia,’’ katanya.

Tiba di Ipoh, mereka mengadakan lawatan ke Masjid Cina dan diberi peluang memberikan tazkirah di masjid berkenaan dengan membawa tajuk `Masjid Sebagai Agen Penyatuan Ummah’.

“Secara keseluruhan, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Orang ramai yang ditemui amat menghargai kit solat dan tazkirah yang disampaikan dan menyarankan program sebegini diteruskan pada masa akan datang dengan lebih kerap,’’ katanya mengakhiri perbualan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *