Home » Langit Terbuka » 28 militan dari China ditahan di Malaysia

28 militan dari China ditahan di Malaysia

Risikan dua negara banteras kegiatan transit militan

BEIJING, 12 Januari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, hasil kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan China, sebanyak 28 rakyat negara ini yang disyaki anggota militan Daesh ditahan di Malaysia.

Katanya, mereka yang ditahan itu adalah dalam perjalanan ke Iraq, Turki dan Syria dengan menjadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan selepas mengaburi pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata, mereka adalah sebahagian daripada 260 individu yang berjaya ditahan bawah Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan Dalam Negara Asing (SMATA) 2015 yang mempunyai peruntukan menahan mereka yang terlibat dengan kegiatan militan luar negara.

“Dari tahun 2013 hingga 2016, 260 orang ditahan kerana pengli­batan mereka sebagai anggota, pengrekrut, pemberi dana atau penyokong kepada militan Daesh.

“Daripada jumlah itu, 30 orang rakyat asing dan bakinya rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, hasil pertukaran risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis China dari 2011 hingga 2016, 28 orang rakyat China telah ditahan dan kemudian dihantar pulang ke negara asal.

“Mereka disyaki menganggotai kumpulan militan, Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM) yang ditubuhkan oleh militan Uighur di China Barat,” tambah Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan China telah menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Malaysia kerana memberi sokongan padu dalam bidang keselamatan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan aktiviti keganasan antarabangsa.

Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja enam hari di sini bertemu dengan Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun, Timbalannya, Meng Hongwei serta Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat, Parti Komunis China (CPC), Meng Jianzhu.

Esok, Ahmad Zahid akan ke Kunming, wilayah Yunan untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan amalan terbaik wilayah berkenaan dalam usaha memerangi jenayah keganasan serta radikalisasi, di samping isu berkaitan pengurusan penjara.

Beliau dijadualkan bertemu Gabenor Wilayah Yunnan, Chen Hao dan mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Jabatan Keselamatan Awam serta Biro Pentadbiran Penjara.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri juga akan melawat Muzium Kawalan Narkotik pada 14 Januari ini. – UTUSAN

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *