Home » Langit Terbuka » 4.2 juta rakyat Malaysia ada masalah mental

4.2 juta rakyat Malaysia ada masalah mental

PUTRAJAYA, 28 Sept. – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam mendedahkan kira-kira 30 peratus atau 4.2 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas mengalami masalah kesihatan mental.

Katanya, data berkenaan diambil menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan pada tahun lalu.

“Angka yang diperolehi ini bermaksud, satu dalam tiga rakyat Malaysia mengalami isu berkait dengan masalah mental.

“Antara faktor menyumbang masalah mental ini termasuk krisis kewangan, tiada pekerjaan, tertekan kerana pekerjaan, isu dan masalah keluarga seperti hubungan, penceraian, kurang kemahiran keibubapaan, keganasan serta salah guna dadah,” katanya pada sidang media hari ini.

Berdasarkan kajian itu, Subramniam berkata, data turut menunjukkan masalah kesihatan mental paling tinggi adalah dalam kalangan usia 16 hingga 19 tahun serta golongan berpendapatan rendah.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie pernah menasihatkan orang ramai agar menjalani tahap tekanan atau stress bagi mengenal pasti kemungkinan mereka menghidap sakit mental.

National Suicide Registry Malaysia pada tahun lalu juga melaporkan sebanyak 29.2 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, menunjukkan peningkatan berbanding 11.2 peratus pada 2006.

Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ada menyatakan bahawa beban masalah kesihatan mental dijangka terus meningkat daripada 12 peratus pada tahun 2000 kepada 15 peratus menjelang tahun 2020.

  • ISMAWEB

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *