Home » Langit Terbuka » Pakej urus jenazah, harta pusaka pertama di dunia

Pakej urus jenazah, harta pusaka pertama di dunia

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini melancarkan produk terbaharunya, MyAngkasa Mukmin yang menggabungkan tiga perkhidmatan utama dalam pengurusan jenazah umat Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, produk inovasi pertama di dunia itu menggabungkan tiga aspek perkhidmatan iaitu pengurusan jenazah profesional tanpa tunai, pengurusan harta pusaka dan perlindungan takaful.

“Setiap tahun kematian umat Islam mencecah 100,000 orang dan sudah tentu daripada jumlah itu ada yang berdepan masalah seperti pertikaian yang berkaitan pengurusan jenazah dan harta pusaka.

“Jadi, usaha yang dipelopori Angkasa ini akan memberi manfaat dalam mengurangkan beban keluarga atau waris si mati supaya jenazah dan harta pusaka dapat diurus secara lebih profesional dan bijaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Produk MyAngkasa Mukmin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah; Pengerusi MyAngkasa Amanah Berhad, Datuk Ali Hassan; Pengarah Urusan MyKhairat Ma­nagement Services Sdn. Bhd. Mohd. Yusni Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Rosegate Insurans Broker Sdn. Bhd., Zam Zalman Tik.

Menurut Asyraf Wajdi, seramai 1,500 pengurus jenazah telah dilantik di kariah-kariah masjid di seluruh negara bagi menjadi wakil untuk menguruskan jenazah sebaik sahaja berlakunya kematian melibatkan ahli.

Katanya, tanpa menjadi ahli pun, pihak pengurusan jenazah itu akan menguruskan jenazah dan menyempurnakan pengebumian si mati.

“Tinggal lagi jika mengambil pakej MyAngkasa Mukmin serendah RM5 sebulan misalnya, ahli akan mendapat pelbagai faedah termasuklah pengurusan dan pentadbiran harta pusaka si mati dan bayaran kepada perlindungan takaful.

“Ini termasuklah kematian akibat kemalangan, waris si mati layak menerima manfaat bernilai RM15,000, RM30,000 dan RM50,000,” katanya.

Sementara itu, menurut Asyraf Wajdi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkasa dan Majlis Agama Islam setiap negeri bagi memastikan kesemua 6,230 buah masjid di negara ini menubuhkan Koperasi Kariah Masjid masing-masing bagi menjana ekonomi ummah.

Menurutnya, kini hanya terdapat 400 buah masjid di negara ini yang telah mempunyai koperasi dan 487 masjid lagi telah mendapat kebenaran untuk menubuhkan koperasi.

https://www.utusan.com.my/berita

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *