Home » Langit Terbuka » 475 jemaah haji terakhir selamat pulang

475 jemaah haji terakhir selamat pulang

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji berkata, keseluruhannya operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini . Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 475 orang selamat pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada 4.10 pagi tadi (13 September).

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan hari ini memberitahu, keseluruhan seramai 30,173 jemaah haji Malaysia selamat pulang, manakala 24 jemaah haji telah meninggal dunia di Tanah Suci dan tiga lagi jemaah haji Malaysia sedang mendapatkan rawatan di hospital Arab Saudi.

“Para jemaah tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah pada 1.58 petang waktu Arab Saudi, 12 Sept. Ketibaan kumpulan terakhir ini menandakan berakhirnya Operasi Haji TH bagi Musim 1440H/2019M,” kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dalam kenyataan itu berkata keseluruhannya operasi haji tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan rata-rata jemaah haji Malaysia dapat menyelesaikan ibadah haji mereka dengan sempurna.

“TH ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta agensi-agensi yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, satu sesi post-mortem akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menilai semula semua sudut operasi dan mencari ruang penambahbaikan bagi musim haji akan datang.

“Surat tawaran untuk menunaikan haji bagi Musim Haji 1441H/2020M dijadualkan akan dikeluarkan bermula November ini secara berperingkat. TH menasihati para pendeposit untuk mengemas kini maklumat masing-masing dengan mengunjungi cawangan-cawangan TH berdekatan.

“Ini bagi mengelakkan surat tawaran haji tidak diterima kerana kesilapan alamat dan butiran peribadi yang tidak dikemaskini,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *