Home » Langit Terbuka » 56 masjid diwartakan Bangunan Warisan Melaka akan dibaik pulih: Perzim

56 masjid diwartakan Bangunan Warisan Melaka akan dibaik pulih: Perzim

MELAKA, 1 Ogos – Sebanyak 56 masjid yang diwartakan sebagai Bangunan Warisan Melaka bagi memulihara khazanah sejarah negeri ini kini dalam usaha baik pulih melalui kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Kerajaan Melaka.

Pengurus Besar Perzim Datuk Khamis Abas berkata antara masjid yang terlibat Masjid Lama Machap dan Masjid Lama Parit Melana, Alor Gajah, Masjid At-Taqwa, Jasin dan Masjid Al-Hamideen, Bukit Cina dengan kos sebanyak RM775,000.

“Antara kerosakan yang dapat dilihat ketika usaha membaik pulih kebanyakannya disebabkan anai-anai..namun setakat ini kebersihan berada pada tahap memuaskan.

“Jadi kita bimbang jika dibiarkan kerosakan yang tidak nampak ini akan menjadikan masjid semakin uzur…oleh itu kita usaha dari semasa ke semasa untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan Negeri mahupun kerajaan Persekutuan bagi meneruskan usaha ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Peningkatan Pengetahuan dan Kesedaran Dalam Memulihara Bangunan Warisan Melaka yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Naim Abu Bakar.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Zainal Hussin dan kira-kira 150 peserta daripada pelbagai agensi.

Khamis berkata Perzim juga menyokong mana-mana pihak khususnya pihak swasta yang berhasrat untuk membaik pulih bangunan lama seperti rumah kedai namun beliau menegaskan pihak itu perlu mengekalkan seni asal bangunan itu.

“Perzim sokong usaha tersebut dengan syarat seni asalnya dikekalkan walaupun fungsinya perlu diubah suai demi memenuhi kehendak dan ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata Perzim dalam masa terdekat akan membaik pulih Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah yang lama terletak bersebelahan Stadhuys di Jalan Gereja di sini sebagai galeri baharu.

“Perzim ada menerima cadangan daripada sebuah syarikat besar di Korea untuk menukar fungsi bangunan itu kepada sebuah galeri lukisan 5D,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan cuba menjadikannya sebagai galeri baharu bagi tujuan memelihara dan membaik pulih bangunan tersebut selain menambah aktiviti muzium dan pelancongan di samping menunggu kelulusan daripada pihak tertentu.

Sementara itu, Naim berkata bengkel dua hari itu merupakan platform sebagai pendedahan secara mendalam dan meningkatkan tahap kesedaran pelbagai pihak terutamanya kontraktor, pensyarah, pelajar dan pihak yang berminat dalam memulihara bangunan warisan. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *