Home » Langit Terbuka » Kerajaan akan wujud garis panduan pelaksanaan badal haji

Kerajaan akan wujud garis panduan pelaksanaan badal haji

Proses badal haji oleh Tabung haji untuk rakyat negara ini dianggap yang terbaik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Foto TVSarawak.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan garis panduan khas berhubung pelaksanaan badal haji atau upah haji bagi memastikan tiada sebarang unsur penipuan dan keraguan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan pihak Tabung Haji untuk menyelaraskan harga, prosedur dan proses pelaksanaan ibadat tersebut.

“Saya sejujurnya daripada dulu lagi merasakan amat perlu satu penilaian semula dan saya akan ambil perhatian dalam isu ini selepas selesai perjumpaan dengan Tabung Haji untuk kita selaraskan termasuk pakej haji dan umrah supaya standard harga, prosedur dan peraturan.

“Sebab perjalanan (pelaksanaan) itu orang nampak, aku (pelanggan) bagi (duit) dan selesai, tidak.. dia ada proses-prosesnya dan saya lihat proses yang dilakukan oleh Tabung Haji adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Cuci-Cuci Masjid Pasca koronavirus (Covid-19) dan Musa’adah Covid-19 di Masjid Al-Khasyi’in Desa Petaling di sini hari ini.

Program peringkat kebangsaan itu diadakan secara serentak di 10 buah negeri merupakan anjuran anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua YADIM, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh

Baru-baru ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary menasihatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati dan tidak berurusan dengan pihak tertentu di Malaysia yang menawarkan khidmat badal haji.

Nasihat itu dibuat ekoran terdapat beberapa pihak mula menawarkan perkhidmatan badal haji kepada orang ramai namun pada masa ini pihak Arab Saudi belum mengumumkan senarai mereka yang dibenar menunaikan haji dan bagaimana proses mengerjakan ibadat itu pada tahun ini dalam suasana pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Zulkifli ketika diminta mengulas sama ada haji badal yang dilakukan itu sah atau tidak beliau berkata, ia bukanlah satu masalah tetapi yang paling utama ialah pemantauan supaya pihak yang memberikan perkhidmatan itu dibuat dengan betul atau sebaliknya.

“Kalau kita bagi (duit) dan orang itu laksanakan tidak ada masalah apa, malah perkara ini sudah dibahas oleh ulama dalam bab badal haji tetapi kita mahu dari segi benar berlaku, itulah yang hendak kita pantau sebaiknya,” ujar beliau. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *