Home » Citra Yadim » Menteri di JPM rasmi Cuci Cuci Masjid Pasca Covid-19

Menteri di JPM rasmi Cuci Cuci Masjid Pasca Covid-19

DESA PETALING – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri pada 7 Jun telah merasmikan program Cuci Cuci Masjid Pasca Covid-19 & Musa’adah Covid-19 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Program anjuran Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM itu diadakan di Masjid Al Khasyi’in di sini, dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kelab Bukit Perdana.

Ia bertujuan membina kesedaran dan melahirkan masyarakat yang mengamalkan kebersihan dan kesucian terutama tandas dan tempat wuduk, sesuai dengan syariat Islam yang menitik beratkan kebersihan dan kesucian.

Mewakili YADIM dalam program ini ialah Yang Dipertuanya, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Dalam pada itu, program ini juga menyaksikan buat julung kalinya, Cuci Cuci diadakan secara serentak di sembilan lokasi seluruh negara dan disiarkan secara langsung semasa majlis berjalan.

Antara lokasi yang dijalankan program ialah di Masjid Jabi, Besut, Terengganu; Masjid Nurul Khair, Kampung Semariang, Kuching, Sarawak; Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid, Taman Universiti Skudai Johor Bahru, Johor; Masjid Nurul Hidayah, Pekan Bongawan Papar, Sabah; dan Masjid Qaryah Bemban Mambau,Negeri Sembilan.

Turut serta ialah Masjid Semilang ,Seberang Jaya, Pulau Pinang; Masjid Jamek Simpang 4 Sedaka, Yan, Kedah; Masjid Al- Maghfirah Kepala Batas, Sanglang, Perlis dan Masjid Kiayi Haji Abdullah Umar, Kapar, Selangor.

Dalam pada itu di Masjid Al Khasyi’in, Datuk Seri Dr Zulkifli turut menyampaikan sumbangan kepada 20 asnaf terpilih termasuk kepada yang bukan Muslim yang menetap di sekitar masjid ini.

Kakitangan YADIM pula bekerjasama dengan sukarelawan dan petugas masjid membersihkan tandas, tempat wuduk dan kawasan luar masjid. Kerja kerja sanitasi juga diadakan di dewan solat utama.

YADIM turut menyerahkan pam air, buku buku sebanyak RM1,000 serta sumbangan wang tunai juga bernilai RM1,000 kepada masjid Al Khasyi’in bagi tujuan mengimarahkan rumah ibadat berkenaan.

Cuci Cuci merupakan program ikon YADIM yang telah diadakan sejak 2017 yang memfokuskan kepada inisiatif membersihkan surau dan masjid masjid terpilih di seluruh negara.

Sehingga kini, lebih 70 masjid dan surau di seluruh negara telah dibersihkan menerusi program Cuci Cuci. Selepas ini, YADIM turut merancang menambah nilai program dengan melaksanakan juga kerja kerja pembaikan di surau dan masjid yang diadakan program ini.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *