Home » Citra Yadim » 6,000 hadir @MyMasjid  Lahad Datu

6,000 hadir @MyMasjid  Lahad Datu

KOTA KINABALU 5 Okt. – Karnival @MyMasjid  Lahad Datu 2016 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sabah yang diadakan pada 2 dan 3 Oktober lalu telah mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat berdasarkan jumlah kehadiran ke program-program yang diadakan sepanjang karnival berkenaan.

Pengurus Eksekutif Yadim Zon Sabah, Samin Ongki berkata, sepanjang dua hari program itu diadakan seramai 6,000 orang hadir ke karnival berkenaan terutama program yang berbentuk kuliah dan ceramah.

“Keadaan ini memperlihatkan minat yang begitu tinggi orang ramai terhadap ilmu Islam dan rata-rata mereka menyambut baik dan berbesar hari program ini diadakan di kawasan mereka,’’ katanya.

Samin berkata, dalam program yang diadakan di Masjid Ar-Raudhah Bandar Lahad Datu, Sabah itu pelbagai program menarik telah diadakan seperti gerai pameran, acara basikal amal, derma darah, pertandingan busana muslimah, buskers dan klinik solat.

“Selain itu, turut diadakan adalah pertandingan kompang, azan, mewarna untuk kanak-kanak, nasyid dan kuliah Maghrib serentak di enam buah masjid.

“Program lain termasuk lawatan ke Hospital Lahad Datu dan Forum Khas yang diadakan pada malam penutup dan disiarkan secara langsung oleh Radio Sabah, katanya.

Beliau berkata, apa yang menarik program-program yang diadakan telah juga turut disertai oleh pemimpin tempatan seperti Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Datuk Mohd. Yusof Afdal dan Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali.

Jelasnya, program menderma darah juga mendapat sambutanyang begitu baik dan berjaya mengumpul 101 pain darah.

“Berdasarkan sambutan yang diberikan Yadim Sabah merancang untuk meneruskan program ini pada masa akan datang dengan menyelitkan program baru di dalamnya seperti mengadakan kenduri kampung dan pemeriksaan kesihatan percuma seperti  pemeriksaan mata, rawatan gigi dan pencegahan kanser,’’ katanya

Menurutnya, pihaknya juga akan berusaha mendapatkan rakan usahasama bagi menjayakan program ini terutama daripada pihak swasta, agensi kerajaan dan pihak media.

Melalui program itu, katanya, Yadim mahu menjadikan institusi masjid sebagai nadi utama dalam  mengimplementasi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan khususnya dalam kegiatan dakwah serta mendekati anggota masyarakat setempat.

“Objektif program adalah untuk menzahirkan peranan masjid sebagai nadi aktiviti dan penyatuan ummah dan menyemarakkan semangat dakwah di kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini juga diharapkan dapat memupuk budaya tolong menolong dan mempertaut ukhuwwah Islamiah di kalangan masyarakat,’’ jelasnya.

Beliau berharap program yang dirancang itu akan memberi impak yang positif dalam melahirkan masyarakat yang berilmu dan beramal serta berupaya memperkasakan peranan institusi masjid dalam masyarakat.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *