Home » Persuasif » Adakah isu perpaduan Melayu masih relevan?

Adakah isu perpaduan Melayu masih relevan?

Oleh SHAHBUDIN EMBUN

Isu atau topik tentang perpaduan Melayu bukanlah sesuatu yang baru, namun isu ini masih terus hangat dibincangkan, apatah lagi dengan perkembangan semasa politik yang sentiasa berubah. Namun persoalannya tetap sama. Adakah perpaduan Melayu merupakan satu realiti dan masih relevan ataupun hanya mitos yang akan terus dibincangkan sebagaimana kisah-kisah mitos yang lain?

Ada pula yang menganggap, apabila kita membincangkan sesuatu isu yang berkaitan dengan penyatuan Melayu, maka kita dianggap sebagai rasis. Mungkin ini satu pertuduhan yang melampau kerana tidak ada salahnya kita membicarakan soal survival Melayu serta mempertahankan hak orang Melayu di tanah airnya sendiri.

Dan apabila kita membicarakan tentang perpaduan Melayu, kita tidak boleh lari dari mengaitkannya dengan apa yang berlaku dalam UMNO. Apatah lagi dengan senario politik tempatan hari ini. Sejarah telah membuktikan yang perpaduan Melayu sememangnya mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku dalam UMNO.

Cuba kita imbas kembali apa yang berlaku pada tahun 1987 apabila Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) merebut jawatan Presiden UMNO. Berikutan dengan kemenangan Mahathir mempertahankan jawatan, Ku Li telah menubuhkan Semangat 46 dan bergabung dengan parti PAS dan BERJASA untuk menawan Kelantan. Perpaduan ini membabitkan parti-parti Melayu dan sedikit sebanyak telah menyebabkan perpecahan dalam perpaduan Melayu itu sendiri.

Manakala pada tahun 1997 dan 1998 pula, berikutan dengan krisis antara Mahathir dan Anwar, kita lihat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan atas nama memperjuangkan keadilan, agama, bangsa dan tanah air yang kita cintai ini. Adakah isu ini menyebabkan Melayu tidak bersatu? Kemungkinan itu ada kerana sebahagian besar ahli-ahli awal Parti Keadilan adalah bekas ahli-ahli UMNO. Maka di sini sahaja sudah nampak keretakan dalam perpaduan Melayu.

Dan sejak kebelakangan ini, kita terdengar suara-suara yang menyatakan UMNO dan PAS perlu bersatu semula untuk mengeratkan lagi nadi perpaduan sesama Melayu. Adakah dengan penyatuan ini akan memberi jaminan bahawa Melayu akan terus bersatu? Terus terang dinyatakan tidak ada jaminan perpaduan akan berlaku jika PAS dan UMNO bergabung. Namun sekurang-kurangnya penyatuan ini akan memberi harapan bahawa perpaduan Melayu boleh jadi semakin kukuh.

Walaupun nada Presiden PAS , Datuk Haji Hadi Awang dikatakan tidak begitu kritis seperti dahulu, namun ini tidak bermakna yang PAS sudah sebelah kaki akan bergabung dengan UMNO. Dalam politik, kita tidak boleh terus membuat sebarang andaian kerana musuh politik hari ini boleh menjadi sahabat yang baik pada keesokan harinya.

Itulah sebabnya UMNO sendiri perlu memastikan ahli-ahlinya mempunyai semangat perpaduan yang tinggi. Jangan difikirkan dahulu tentang kemungkinan akan bergabung dengan PAS ataupun tidak. Jika dalam UMNO sendiri pun berlaku perpecahan, bagaimana pula hendak bersatu dengan pihak lain. UMNO perlu membuktikan kepada semua, bahawa parti ini merupakan contoh dan teladan yang paling baik apabila kita berbincang tentang perpaduan.

Dan jika perpaduan itu memerlukan pengorbanan beberapa pemimpin UMNO yang sudah tidak mengikut arus, maka UMNO perlu membuat satu tindakan drastik demi mempertahankan solidariti dan semangat perpaduan dalam UMNO.

Bangsa Melayu mewakili 67 peratus rakyat di negara ini. Secara statistiknya, ianya masih merupakan angka yang besar. Namun pada masa yang sama, kita tidak boleh goyang kaki dan terus berbangga dengan jumlah peratus yang besar itu.

Sebenarnya bangsa Melayu di Malaysia tidak mempunyai pilihan dan mesti bersatu. Dan disinilah UMNO mesti memainkan peranan yang penting. Ini disebabkan bangsa Melayu merupakan nadi yang menggerakkan tunjang pemerintahan di negara kita ini. Bangsa Melayu sebenarnya memikul tugas dan tanggungjawab yang hebat dalam menentukan masa depan negara. Dan apabila bangsa Melayu itu kuat melalui penyatuan, maka akan memudahkan lagi bangsa Melayu untuk terus memimpin negara kita.

Mungkin generasi hari ini tidak tahu, bahawa suatu ketika dahulu, iaitu beribu tahun dahulu, bangsa Melayu merupakan antara bangsa yang paling awal bertamadun. Kajian telah membuktikan yang bangsa Melayu pernah menjadi perintis dalam bidang pelayaran dan perkapalan. Namun sejarah ini tidak pernah dipaparkan dengan meluas.

Adakah kita tidak mahu generasi hari ini tahu akan zaman kegemilangan tamadun dunia Melayu dahulu? Adakah generasi hari ini tidak memberi keutamaan kepada pentingnya perpaduan dalam bangsa Melayu. Atau adakah kita sendiri yang lalai tidak memberikan pendidikan kepada generasi hari ini? Persoalan seperti ini perlu dijawab dahulu sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut akan pentingnya perpaduan Melayu di negara kita.

Dalam kita bersemangat untuk menyeru perpaduan dalam Melayu, kita perlu sedar tentang pentingnya menjadikan Islam sebagai dasar dan teras perpaduan Melayu. Melalui Islam, perpaduan akan lebih mudah dikecapi kerana Islam merentasi semua sempadan termasuklah bangsa, warna kulit dan pegangan politik yang mungkin menjadi penghalang kepada perpaduan Melayu yang lebih mantap.

Dan jika isu perpaduan Melayu terus dianggap enteng dan tidak penting, maka jangan terperanjat jika satu hari nanti, bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang paling malang di buminya sendiri.

Penulis adalah ahli Kluster Perpaduan Ummah, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), YADIM.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *