Home » Citra Yadim » 6,000 hadir program Santai Ilmu

6,000 hadir program Santai Ilmu

KOTA KINABALU 1 Nov. – Lebih 6,000 orang hadir dalam program Santai Ilmu bersama penceramah terkenal Datuk Ustaz Kazim Elias di dua lokasi iaitu di Putatan dan Tambunan pada 29 dan 30 November lalu.

Pengarah Yadim Zon Sabah, Samin Ongki berkata, program ini dijalankan secara kerjasama dengan pelbagai pihak dengan Yadim bertindak sebagai penyelaras dalam kedua-dua program berkenaan.

Beliau berkata, di Putatan program ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Daerah Putatan dan masjid-masjid di daerah berkenaan, manakala di Tambunan, program melibatkan kerjasama di antara Badan Dakwah Daerah,  Pejabat Daerah Tambunan,  USIA Bahagian Tambunan dan  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) daerah Tambunan.

“Sememangnya, setiap kali Ustaz Kazim mengadakan program di sini, beliau sentiasa mendapat sambutan yang sangat hebat daripada masyarakat setempat yang menyenangi cara penyampaian beliau.

“Ini membuktikan bahawa masyarakat Sabah sememangnya sentiasa dahaga dan cintakan ilmu agama sehingga mereka memenuhi dewan di kedua-dua lokasi berkenaan,’’ katanya.

Beliau berkata, yang lebih menarik lagi ialah, program berkenaan turut mendapat sambutan daripada penduduk bukan Islam yang sama-sama mahu mendengar pelbagai tips yang boleh mereka aplikasikan dalam kehiduapan seharian.

Katanya, penyertaan bukan Islam itu juga menunjukkan bahawa masyarakat di negeri berkenaan amat terbuka dan mereka memahami ajaran Islam itu juga boleh diamalkan dalam kehidupan bersesuaian dengan ungkapa `Islam itu adalah suatu cara hidup’.

“Program Santai Ilmu pertama telah diadakan di Dewan Sri Putatan,  Putatan Sabah pada 28 Oktober yang lalu,  dan telah turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri  Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Husin,’’ katanya.

Manakala, pada program kedua, katanya,telah diadakan di Pekan Tambunan dengan turut dihadiri oleh  Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama lebih 3,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama dari daerah-daerah  pedalaman Sabah iaitu Tambunan,  Ranau,  Keningau,  Tenom dan Nabawan.

Beliau berkata, daripada maklum balas masyarakat setempat, Ustaz Kazim sememangnya amat disenangi oleh penduduk Sabah termasuk bukan Islam kerana rancangan beliau di televisyen sentiasa ditonton dan mudah difahami.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *