Home » Langit Terbuka » Henti penyebaran hadis palsu

Henti penyebaran hadis palsu

PUTRAJAYA 31 Okt. – Penubuhan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis atau Lajnah Tahqiq Hadis bertujuan menyediakan pandu arah bagi mengekang penyebaran hadis-hadis palsu dalam masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyebaran tersebut khususnya dalam penerbitan boleh membawa kepada penyelewe­ngan akidah, menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta perpaduan negara.

Katanya, melalui jawatankuasa berkenaan, pengawalan dan pe­nyemakan hadis akan dibuat ter­hadap kitab-kitab hadis, buku-buku dan bahan bercetak yang lain.

Menurutnya, perbezaan fahaman yang disebabkan oleh hadis-hadis palsu ini telah mengakibatkan perselisihan dan wujudnya hukum-hukum keras hasil daripada pe­nyalahtafsiran atau pentafsiran dengan acuan sendiri sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang terlibat dalam militan Daesh.

“Dalam keadaan itu, hadis-hadis palsu ini telah membangkitkan perasaan asabiyah dan fahaman melampau. Ini menyebabkan perasaan meninggi diri dan mentafsirkan bahawa pihak yang tidak sealiran sebagai golongan tidak beriman atau darah mereka adalah halal.

“Perkara ini cukup bahaya ke­rana kita lihat hadis-hadis palsu ini bercanggah dengan nas yang terdapat dalam al-Quran. Seper­ti disebutkan oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyah bahawa usaha hendaklah dilakukan untuk mengenali hadis-hadis palsu ini dan jika tidak dilakukan dengan berkesan akan menyebabkan mujazafah iaitu berlebih-lebihan dalam pe­ne­tapan pahala dan dosa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penganuge­rahan Sijil Pelantikan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak tujuh ahli panel jawatankuasa itu yang diketuai Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor sebagai Pengerusi dianugerahkan sijil pelantikan.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, masyarakat perlu dididik supaya merujuk kepada kitab-kitab syarah hadis yang muktabar atau sahih dan merujuk kepada golongan pakar supaya pemahaman hadis adalah tepat.

“Garis panduan berkaitan de­ngan penulisan hadis akan dikeluarkan sebagai panduan dan bagi membimbing penulis-penulis da­lam membuat semakan dan menentu sahkan hadis sebelum ditulis,” katanya. – https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

Ulama galakkan kesederhanaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam mempromosi kesederhanaan melalui tafsiran teks agama yang seimbang, memperjuang toleransi dan membimbing umat

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *