Home » Citra Yadim » Resolusi Ijtimak Asatizah Malaysia 2022

Resolusi Ijtimak Asatizah Malaysia 2022

RESOLUSI

IJTIMAK ASATIZAH MALAYSIA 2022
PENYATUAN & HARMONI ALIRAN PEMIKIRAN

DEWAN SERBAGUNA,
MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
18 JUN 2022 (SABTU)

LATAR BELAKANG

MENGINSAFI bahawa perbezaan pendapat adalah satu perkara yang lumrah dan merupakan sebahagian daripada sunnatullah.

MEMAHAMI bahawa khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabii.

MENGHAYATI akhlak-akhlak islamiah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam di dalam al-Quran dan al-Sunah.

MENGAMALKAN adab dan etika murni ketika berhadapan dengan masalah-masalah khilafiah agar tidak menimbulkan porak-peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

MAKA,
Ijtimak Asatizah Malaysia 2022 yang berlangsung selama satu (1) hari pada 18 Jun 2022 (Sabtu) anjuran Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah disertai seramai 1000 orang peserta dalam kalangan para agamawan, pemimpin agensi/masyarakat/badan bukan kerajaan, ahli akademik, aktivis dakwah dan individu persendirian dari seluruh Malaysia dengan ini mencapai Resolusi berikut :

PERTAMA : Mewujudkan satu platform penyatuan ummah dengan menjadikan Ijtimak Asatizah Malaysia 2022 sebagai acara berkala tahunan dan menjadikan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) sebagai sekretariat dalam mengukuhkan penyelarasan, pengurusan dan rangkaian kolaborasi dalam kalangan para ulama, ilmuwan dan asatizah di Malaysia.

KEDUA : Mempromosikan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai satu pegangan utama serta menolak sebarang ideologi dan ajaran sesat melalui program-program fizikal dan media massa.

KETIGA : Menganjurkan Persidangan Meja Bulat secara berkala dan tertutup dalam kalangan ahlinya bagi mencari ruang keharmonian dan membincangkan langkah penyelesaian atas sesuatu pertembungan pandangan agar kesepakatan dapat dicapai.

KEEMPAT : Mewujudkan program-program pendidikan bagi mengukuhkan perkara asas Fardhu Ain kepada masyarakat supaya pegangan agama tidak goyah walaupun diancam dengan serangan pemikiran.

KELIMA : Memahami keutamaan dalam perbezaan pandangan dengan mewujudkan satu platform maklumat khusus yang mudah diperolehi dengan mengambil rujukan dan pendapat yang diiktiraf, sahih dan diyakini dalil serta sandarannya.

KEENAM : Pihak yang berbeza pandangan harus berjiwa besar dan berlapang dada atas perbezaan yang bersifat furuk dan memperbetulkan fokus hala tuju dakwah kepada persoalan pokok yang perlu diutamakan.

KETUJUH : Menjaga adab dan etika dalam memberi pandangan dan menggunakan media sosial secara bertanggungjawab atas hujah yang dikemukakan agar tidak mengelirukan masyarakat awam yang tidak faham tentang konsep perbezaan pandangan.

Jadi, resolusi yang telah dibentangkan oleh Ustaz Mohamad Najhan Shahir bin Abdul Halim, Pengarah Kanan Pejabat Yang Dipertua telah mendapat persetujuan sebulat suara oleh para peserta yang hadir dalam Ijtimak Asatizah Malaysia 2022.

Terima kasih.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *