Home » Langit Terbuka » Raja Perlis gesa umat Islam bela sunnah Rasulullah SAW

Raja Perlis gesa umat Islam bela sunnah Rasulullah SAW

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. - Foto BERNAMA

KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menggesa seluruh umat Islam berganding bahu membela sunnah Rasulullah SAW kerana ia wajar diambil berat oleh setiap Muslim.

Baginda bertitah, Perlis menjadi benteng utama Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada segala amalan tahyul, khurafat dan tokok tambah ajaran agama tanpa asas benar yang dilihat semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat.

“Beta ingin tegaskan bahawa Perlis tidak berpegang langsung kepada ajaran ‘Wahabi’. Keutamaan kita di Perlis adalah setiap perkara perlu berteraskan al-Quran dan sunnah dengan melihat kepada huraian dan ijtihad ulama yang muktabar membabitkan semua aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, tidak terhad kepada satu-satu tokoh shaja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menutup program Perkampungan Sunnah Siri ke-7 di Masjid Alwi di sini malam ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis penutup itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, barisan EXCO kerajaan negeri dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Program Perkampungan Sunnah itu yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu bertemakan ‘Bangkit Membela Sunnah’ menjadi platform dalam membincangkan topik semasa sebagai usaha pendedahan kepentingan dalil dan kaedah yang benar dalam beragama. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *