Home » Langit Terbuka » 718 pusat tahfiz perlu diselenggara, baik pulih

718 pusat tahfiz perlu diselenggara, baik pulih

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil daripada lapan pusat tahfiz ketika majlis Walkabout di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah, Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang. - Foto : Berita Harian

KOTA KINABALU 12 Feb – Kerajaan mengenal pasti 718 pusat tahfiz di seluruh negara yang perlu diselenggara dan dibaik pulih bagi meningkatkan aspek keselamatannya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini 457 pusat tahfiz sudah menjalani proses pendawaian baharu, manakala selebihnya dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Mac.

Katanya, proses pendawaian adalah tindakan fasa pertama diambil oleh kerajaan sebelum menaik taraf ciri keselamatan yang lain.

“Kebanyakan pusat tahfiz yang memerlukan penyelenggaraan ini terdiri daripada pusat tidak berdaftar. Bagi kerajaan, bukan berdaftar atau tidak yang menjadi keutamaan, sebaliknya keselamatan pelajar lebih penting.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra dengan wakil-wakil daripada lapan tahfiz selepas menyampaikan sumbangan ketika majlis Walkabout di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah, Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang. – Foto Khairull Azry Bidin

“Kita mendahulukan pusat tahfiz yang tidak berdaftar kerana kebanyakannya tidak mengikut piawaian ditetapkan berbanding pusat tahfiz berdaftar,” katanya ketika lawatan ke Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyah Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang, dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, proses baik pulih dan penyelenggaraan itu adalah hasil kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang memberi khidmat nasihat berhubung langkah perlu diambil bagi meningkatkan aspek keselamatan.

Katanya, semua proses penyelenggaraan ini dilakukan menggunakan dana RM30 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Sementara itu, katanya, sebanyak 32 pusat tahfiz di Sabah diselenggara dan 23 daripadanya sudah siap sepenuhnya.

“Sebenarnya, 42 pusat tahfiz di Sabah dikenal pasti perlu diselenggara, namun 10 digugurkan disebabkan ada yang sudah menutup operasi, pindah ke bangunan lain dan mempunyai senarai bertindih,” katanya.

Beliau berkata, untuk penyelenggaraan pusat tahfiz fasa kedua, kerajaan memperuntukkan RM50 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2018.

“Untuk fasa kedua yang akan dilaksanakan tahun ini, sebanyak 612 pusat tahfiz berdaftar bakal diselenggara secara keseluruhan, termasuk aspek pendawaian dan ciri keselamatan lain,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *