Home » Langit Terbuka » 9 anak jadi hafiz

9 anak jadi hafiz

Keluarga Rosmunainah Asmuni dan Hussin Ismail bersama anak anak mereka. - Foto Ihsan NSTP

BUKIT PAYONG – AL-QURAN adalah kunci kepada kecerdasan fikiran,” kata Rosmunainah Asmuni, 65, ibu kepada sembilan anak bergelar hafiz.

Menurutnya, untuk bergelar hafiz, tidak semestinya seseorang itu perlu dilahirkan sebagai seorang genius, sebaliknya hanya memerlukan keinginan sahaja.

“Al-Quran bukan diturunkan kepada orang cerdik atau genius saja, tetapi mukjizat kepada semua, bermakna orang biasa juga boleh hafiz dan hafizah, asalkan ada keinginan.

“Malah, selepas bergelar hafiz, lebih mudah untuk menghadam ilmu lain dengan lebih cepat berbanding orang biasa dan tidak keterlaluan jika dikatakan, ia kunci untuk menjadi seorang genius.

“Saya dan suami (Hussin Ismail, 65) mendidik semua sembilan anak saya menjadi hafiz pada usia muda dan kemudian turut cemerlang dalam bidang lain,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Akademi Al-Quran Amalillah (Akmal) di Kampung Tebakang.

Semua sembilan anaknya terdiri daripada Siti Nuur Izzati, 38, kini menjadi pengurus di Maahad Tahfiz Al-Nursi, Shah Alam; Mohd Saifullah, 37, (Ketua Eksekutif Akmal); Mohd Fakhrurrazi, 35, (bekas peserta program Imam Muda musim ke-2 dan penyelia pentadbiran Akmal di Shah Alam); Siti Fatimatuzzahra, 33, (pensyarah di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor); Siti Nuur Nazifah, 31, (guru tahfiz ulul albab); Mohd Iqbal, 29, (penyelia pentadbiran Akmal Bukit Payong); Mohd Zulqornain, 26, (Timbalan penyelia pentadbiran Akmal Bukit Payong); Mohd Khidhir, 23, dan Mohd Danial, 21, kedua-duanya masih menuntut di Universiti Antarabangsa Afrika, Sudan.

Kata Rosmunainah, dia dan suami tidak mengamalkan petua atau ritual tertentu, tetapi menjaga makan dan minum anak-anaknya.

“Cuma apabila kakak yang sulung (Siti Nuur Izati) dan anak kedua kami (Mohd Saifullah) bergelar hafiz, lebih mudah untuk semua adik mereka turut sama menjadi hafiz,” katanya.

Keberkesanan amalan menghafal al-Quran turut diakui Hussin dengan mengambil contoh anak sulungnya, Siti Nuur Izati yang mampu menjadi pelajar terbaik zon utara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Ugama (STU) lebih 20 tahun lalu sebelum menjadi penuntut terbaik di Universiti Al-Azhar, Mesir ketika melanjutkan pelajaran ke negara itu.

“Begitu juga anak kedua, Mohd Saifullah yang belajar sekolah tahfiz di Lahore, Pakistan, kemudian belajar di Universiti Al-Ulum, Yaman dan menjadi penuntut terbaik di sana. Bila balik Malaysia selepas pulang dari Yaman, baru dia ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dapat keputusan cemerlang.

“Anak ketujuh (Mohd Zulqornain) pula ambil UPSRI (Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam) pada usia sembilan tahun, kemudian PMR (12 tahun) dan SPM (14 tahun).

“Dia dapat tawaran ke UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) tetapi tak pergi, sebaliknya dia masuk Universiti Al-Iman, Sana’a Yaman pada usia 16 tahun.

“Ini buktinya al-Quran adalah mukjizat dan memang sudah dijanjikan Allah, bila dah hafal lebih 6,000 ayat, maka mudah untuk menghafal benda lain,” katanya.

Menurutnya, kejayaan mendidik sembilan anak bergelar hafiz membuatkan dia semakin bersemangat berkongsi kaedah dengan orang lain.

Daripada situ katanya, timbul idea untuk mewujudkan Akmal yang kini mempunyai 80 pelajar dengan lebih 70 peratus daripada mereka menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa setahun.

“Kami menggunakan kaedah fast track iaitu revolusi hafazan al-Quran dalam tempoh setahun. Ia membabitkan pengurusan masa, suasana, makan minum dan kesediaan diri pelajar serta guru untuk mengajar,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *