Home » Citra Yadim » Seminar Maqasid Syariah Peringkat Negeri Johor

Seminar Maqasid Syariah Peringkat Negeri Johor

JOHOR BAHRU – Guru memainkan peranan besar dalam menjelaskan dan memberi kefahaman mengenai konsep rahmah dan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Peranan mereka itu bukan saja untuk memberi pengajaran dan penjelasan kepada anak murid, malah juga kepada orang ramai.

Menyedari hakikat ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor telah menganjurkan Seminar Maqasid Syariah Peringkat Negeri Johor pada 14 September lalu bertempat di Dewan Seminar Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Seramai 250 orang guru Pendidikan Islam Negeri Johor terlibat dalam seminar sehari ini.

Selain mensasarkan guru, program ini juga bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat khususnya di Johor mengenai konsep dan penghayatan Rahmatan Lil Alamin dalam konteks pentadbiran hal ehwal Islam.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor,Yang Berhormat Tuan Haji Tosrin Jarvanthi.

Tosrin telah menjelaskan mengenai lima prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan dalam ucapannya. Beliau turut menyentuh berhubung sikap bertoleransi yang menurutnya, hendaklah berpandukan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Kias.

Hadir sama ke majlis ini ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Yang Berusaha Tuan Haji Azman Adnan serta Pengarah YADIM Johor, Muhamad Ammar Abdullah serta kakitangannya.

Sementara itu, sebagai pengisian program, dua sesi pembentangan kertas kerja telah diadakan. Sesi pertama oleh Prof. Madya Dr. Arieff Salleh Rosman, Pensyarah Kanan dari Universiti Teknologi Malaysia dengan tajuk ‘Maqasid Syariah Dalam Diri’.

Kertas kerja kedua pula oleh Penasihat Syariah Telaga Biru Sdn Bhd, Ustaz Fauwaz Fadzil. Beliau membawakan tajuk ‘Kepelbagaian Rahmat Allah’.

Selesai pembentangan kertas kerja, majlis disusuli oleh sesi Forum bertajuk ‘Konsep Rahmatan Lil Alamin: Cabaran & Perlaksanaannya’.

Bagi sesi forum, ahli panelnya terdiri daripada Ustaz Hanafi bin Abd Rahman dan Ustaz Mohd Rifqi Myiddin sementara Ustaz Muhamad Ruslan Abdullah bertindak selaku moderator. Ketiga tiganya merupakan tokoh penceramah di negeri ini.

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *