Home » Langit Terbuka » Jururawat Muslim Singapura ‘bersyukur’ dapat pakai tudung

Jururawat Muslim Singapura ‘bersyukur’ dapat pakai tudung

Hab Islam Singapura di negara kota itu. - Foto Majlis Ugama Islam Singapura

SINGAPURA – Jururawat Muslim mengalu-alukan berita bahawa para jururawat dalam sektor jagaan kesihatan awam akan dibenarkan memakai tudung bersama pakaian seragam, jika mereka mahu, mulai November.

 

Berita Mediacorp melaporkan, pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan, Ahad lalu.

 

“Saya amat bersyukur, sungguh gembira apabila saya mendengar berita itu. Sudah agak lama sejak kami meminta ia dibenarkan. Terdapat rasa lega. Saya sampai menitiskan air mata, rasa sedikit emosi,” kongsi seorang jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Wati.

 

Wanita berusia 36 tahun itu sudah bekerja sebagai seorang jururawat di Hospital Besar Singapura (SGH) selama 16 tahun.

 

Katanya, beliau tidak menjangkakan berita itu kerana sudah putus harapan akan dibenarkan untuk memakai tudung di tempat kerja.

 

Wati buat masa ini memakai tudung sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, membukanya sewaktu bekerja dan memakainya semula sewaktu pulang ke rumah.

 

“Ada sebabnya mengapa tudung amat penting dalam masyarakat Muslim. Memakai tudung adalah sebahagian daripada perjalanan rohani dalam mendekati Tuhan. Apabila kami bekerja sebagai seorang jururawat, tugas kami adalah untuk merawat orang lain. (Memakai tudung) sejajar dengan apa yang kami percaya dengan (tugas kami) membantu orang lain.

 

“Ia sesuatu dalam hati kami dan akhirnya kami boleh mengamalkannya, sebagai sebahagian daripada masyarakat,” katanya kepada Mediacorp.

 

Sama sepertinya, jururawat berusia 33 tahun, Aishah Sulaiman amat gembira apabila mendapat tahu tentang berita itu.

 

“Ia tidak menghalang saya daripada melakukan tugas saya, tetapi (dibolehkan memakai tudung) akan membuat perjalanan ulang-alik saya lebih mudah,” katanya yang bekerja di sebuah hospital awam.

 

Aishah menambah, beliau yakin kebanyakan jururawat Muslim di Singapura menanti-nantikan berita itu, terutamanya ‘apabila melihat para pekerja jagaan kesihatan di negara-negara lain dibenarkan memakai tudung’.

 

“Berita ini amat besar ertinya buat saya kerana saya seorang Muslim. Saya harap saya boleh memakai tudung (sewaktu bekerja) kerana ia wajib bagi saya sebagai seorang wanita Muslim,” katanya. – Utusan Malaysia  

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *