Home » Langit Terbuka » Isu maahad tahfiz henti operasi antara fokus menteri agama

Isu maahad tahfiz henti operasi antara fokus menteri agama

Isu penutupan pusat tahfiz antara fokus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Yang Berhormat Senator Haji Idris Haji Ahmad. - Foto Malay Mail

KUALA LUMPUR – Isu maahad tahfiz tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan ibu bapa tidak lagi membayar yuran anak mereka antara fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad sebaik memulakan tugas secara rasmi, esok.

Beliau menegaskan mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu terlebih dahulu sebelum mengulas mengenainya.

“Esok saya akan mula masuk pejabat, ada banyak perkara perlu saya lihat termasuk isu ini (tahfiz ditutup). Apabila ada maklumat lanjut baru saya ulas mengenainya,” katanya ringkas kepada BH.

Media melaporkan sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Perkara itu didedahkan Presiden Permata Al- Quran, Manolito Mohd Dahlan, yang menyatakan perkara itu dikesan selepas kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di seluruh negara.

Beliau dilaporkan berkata, kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus) dan boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus).

Kajian juga katanya mendapati pusat tahfiz yang tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah 38.1 peratus dan menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan (85.4 peratus). – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *