MELAKA – Setiap insan berhak diberi peluang untuk berubah. Bagi mereka yang sedang berusaha meninggalkan kehidupan lalu dan membina semula masa depan, sokongan dan ruang untuk kembali kepada jalan yang lebih baik amat penting.
Semangat inilah yang dizahirkan menerusi Majlis Apresiasi Pelajar Program PRIMA-KAQSA Peringkat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tiang Dua Siri 03/26 pada 10 September.
Hadir merasmikan majlis ialah Pengarah YADIM Negeri Sembilan dan Melaka, Ustaz Abdul Halim Ismail.
Majlis ini merupakan penghargaan kepada Orang Yang Diselia (OYS) yang menunjukkan komitmen mengikuti pengajian dan pengisian kerohanian menerusi program PRIMA-KAQSA.
Lebih membanggakan, beberapa OYS turut menerima anugerah atas kejayaan menghafaz 30 juzuk al-Quran, satu pencapaian yang memperlihatkan kesungguhan mereka mendalami kitab suci tersebut serta membina kembali kehidupan berteraskan agama.
Pendekatan pendidikan dan kerohanian seperti PRIMA-KAQSA memberi ruang kepada mereka untuk mengenal kembali nilai diri, memperkukuh sahsiah dan melihat bahawa masih ada jalan untuk membina kehidupan yang lebih baik.



KOMEN