KUALA LUMPUR – YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama Masjid Al-Ikhlasiah menganjurkan Program Sihat, Merdeka dan Cinta Masjid sempena sambutan Hari Malaysia.
Program yang berlangsung di Masjid Al-Ikhlasiah itu disertai kira-kira 50 kanak-kanak dan penduduk Program Perumahan Rakyat sekitar masjid, dengan pelbagai pengisian melibatkan aspek ibadah, kesihatan, patriotisme dan aktiviti kemasyarakatan.
Program dimulakan dengan pendaftaran dan sarapan pagi sebelum peserta menunaikan solat Dhuha dan solat Hajat. Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan senaman Tai Chi dan perarakan santai di sekitar kawasan masjid.
Sempena Hari Malaysia, peserta turut menyertai pertandingan baju patriotik, manakala pengisian seterusnya melibatkan Motivasi Talk Oleh YADIM yang disampaikan oleh Ahli Zamalah YADIM Wilayah Persekutuan, Ustaz Asyraf Abidin, permainan dalam dewan serta Latihan Dalam Kumpulan (LDK).
Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah, Haji Abas Mohamed, turut menjadi antara penggerak utama program, manakala Ketua Imam Masjid Al-Ikhlasiah, Ustaz Wan Abd Rahim, hadir bersama barisan ahli jawatankuasa masjid dan pegawai YADIM.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Puan Siti Zaiton Bachok.
Program diakhiri dengan jamuan bersama peserta sebelum bersurai. Penganjuran ini diharapkan dapat terus menjadi wadah pengimarahan masjid dan pengukuhan hubungan antara YADIM, institusi masjid serta komuniti setempat.



KOMEN