Home » Citra Yadim » Pemukiman Zamalah Wilayah Persekutuan 2026: Himpun Agen Dakwah YADIM

Pemukiman Zamalah Wilayah Persekutuan 2026: Himpun Agen Dakwah YADIM

KUALA LUMPUR – Dalam mendepani pelbagai cabaran dan kefasadan dunia masa kini, usaha memperkukuh gerak kerja dakwah memerlukan penglibatan serta kesepaduan semua pihak.

Sehubungan itu, YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menganjurkan Pemukiman Zamalah Wilayah Persekutuan 2026 pada 19 September di Masjid As – Sodiqin, Taman Kobena, Kuala Lumpur sebagai platform menghimpunkan para asatizah yang berperanan sebagai agen dakwah YADIM dalam melestari gerakan dakwah di Wilayah Persekutuan.

Pengisian dimulakan dengan slot “Minda MADANI: Cabaran Dunia Kini” yang disampaikan oleh Penasihat Kewangan Syariah, Dr. Mohamed Hadi Abd. Hamid, Beliau mengupas pelbagai isu semasa yang sedang dihadapi masyarakat serta menekankan kepentingan pendekatan dakwah yang bijaksana dalam menangani cabaran tersebut.

Slot kedua, “Penerangan Program Dakwah Negara”, telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda, Daie Muda YADIM Mohamad Fakhrul Hakimin Mokhtar sebagai persediaan kepada para agen dakwah untuk menyelaras dan memperkukuhkan sumbangan mereka dalam menjayakan Program Dakwah Negara 2026.

Pengarah YADIM Wilayah Persekutuan, Puan Siti Zaiton Bachok seterusnya yang telah menyempurnakan perasmian Pemukiman Zamalah 2026 serta menyampaikan amanat yang menyeru seluruh warga dakwah agar terus menggerakkan agenda dakwah secara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak di Wilayah Persekutuan.

Beliau menzahirkan harapan agar para zamalah akan pulang dengan idea yang jelas untuk bersama melestari gerakan dakwah dan menjadi rakan strategik YADIM.

Puan Siti Zaiton juga berharap agar para zamalah yang hadir akan terlibat dan menyumbang secara aktif dalam Program Dakwah Negara 2026 yang bakal berlangsung Oktober ini.

Program diakhiri dengan sesi Perbincangan Meja Bulat, yang menjadi medan perkongsian idea dan perancangan awal bagi merangka gerak kerja pelaksanaan PDN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Semoga segala usaha yang dirancang menjadi pemangkin kepada penyuburan dakwah, memperkukuh ukhuwah dalam kalangan para pendakwah serta membawa manfaat yang berterusan kepada masyarakat.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *