KUALA LUMPUR – Inisiatif Rakan Belia Masjid diperkemas melalui siri perbincangan dan latihan bagi memastikan penglibatan anak muda di masjid dapat dilaksanakan secara berterusan, tersusun dan mempunyai kesinambungan.
Siri 2 Perbincangan Modul Rakan Belia Masjid yang berlangsung pada 21 September dan menjadi usaha untuk menyelaras kandungan dan pendekatan program melibatkan agensi kerajaan serta pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan (NGO).
Inisiatif ini akan melibatkan lebih 10 siri program, dengan kemuncaknya dijadualkan menerusi Konvensyen Rakan Belia Masjid yang menghimpunkan lebih 1,000 belia Wilayah Persekutuan dan dirancang pada 5 Disember 2026, bersempena Hari Sukarelawan Dunia.
Perbincangan siri kedua ini dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, Encik Ahmad Saparudin Yusup, yang dalam ucapan pembukaannya berharap Rakan Belia Masjid dapat menjadi satu inisiatif berterusan dalam melestarikan gerakan dakwah dalam kalangan anak muda, dan bukan sekadar program yang dilaksanakan sekali sahaja.
Sesi perbincangan turut disusuli dengan Training of Trainers (TOT) yang dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda, Ustaz Ab. Razak Aripin, dengan bantuan Daie Muda YADIM, Syafiq Salleh.
Lebih 30 peserta menyertai sesi TOT tersebut dan didedahkan kepada beberapa modul latihan yang memberi tumpuan antaranya kepada pengurusan organisasi serta pengurusan kewangan dalam kalangan belia.
Perbincangan ini melibatkan wakil Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Belia dan Sukan, YADIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Ibu Pejabat (BPRM JBS-HQ).



KOMEN