Home » Citra Yadim » Sikap Taksub Perlu Ditangani Dengan Ilmu, Adab dan Disiplin

Sikap Taksub Perlu Ditangani Dengan Ilmu, Adab dan Disiplin

MELAKA – Sikap taksub serta kecenderungan membawa perbezaan pandangan sehingga mencetuskan kebencian dan perpecahan perlu ditangani dengan ilmu, adab dan disiplin.

Perkara itu antara isu utama yang dibincangkan dalam Muzakarah Asatizah Melaka 2026 pada 21 September anjuran YADIM yang menghimpunkan 40 asatizah terdiri daripada ulama pondok, ahli akademik, pemegang tauliah negeri serta pimpinan badan bukan kerajaan.

Bertemakan “Taksub: Pemusnah Negara Bangsa”, muzakarah berkenaan memberi perhatian kepada cabaran mengurus perbezaan pandangan dalam masyarakat, khususnya apabila perbezaan tersebut dibawa ke ruang media sosial tanpa mengambil kira adab dan kesan terhadap hubungan sesama masyarakat.

Perbincangan turut menyentuh keperluan memahami perbezaan pandangan dalam soal kepartian secara lebih matang, dengan penekanan bahawa politik merupakan wadah ijtihad dan pentadbiran yang boleh dinilai, disokong atau dikritik, namun tidak wajar disamakan dengan agama sehingga perbezaan kepartian dijadikan ukuran keimanan atau persaudaraan sesama Muslim.

Muzakarah ini mengangkat tiga tema utama menerusi sesi forum iaitu “Taksub dan Kerosakan Adab”, “Realiti Kebencian dalam Media Sosial” serta “Adab Perbezaan Pandangan dan Parti Politik Bukan Agama”.

Hadir sama dalam muzakarah berkenaan ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Zamri Zainal Abidin serta Pengarah YADIM Negeri Sembilan dan Melaka, Ustaz Abdul Halim Ismail.

Turut terlibat ialah Profesor Adjung Universiti Sains Islam Malaysia, Tuan Guru Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki dan Mudir Pondok Al Islahiah, Jelawat, Bachok, Baba Zulkarnain Harun.

Datuk Dr. Hasan dalam ucapan aluannya berkata, para asatizah perlu menjadi contoh serta menunjukkan peribadi yang baik memandangkan Malaysia dihuni masyarakat majmuk yang terdiri daripada umat Islam dan bukan Islam.

Tambah beliau, para asatizah juga perlu menekankan budaya tabayyun dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum disebarkan.

Sesi penutup dimulakan dengan ucapan penutupan oleh Haji Zamri sebelum penggulungan penutupan oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka, SS Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Penganjuran muzakarah ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada adab, kematangan dalam mengurus perbezaan serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keharmonian masyarakat.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *