KUALA TERENGGANU – Kesejahteraan keluarga dan kecemerlangan kerjaya merupakan dua aspek penting yang saling melengkapi dalam membentuk kehidupan yang harmoni dan seimbang.
Menyedari kepentingan tersebut, YADIM Negeri Terengganu telah menganjurkan Program Bicara Dakwah MADANI sempena Program Dakwah Negara 2026 di Dewan Batu Bersurat, Muzium Terengganu, Kuala Terengganu pada 15 November.
Program dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu itu melibatkan warga jabatan berkenaan dan menampilkan Ahli Zamalah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Zaki Mat Yakim sebagai penceramah menerusi tajuk “Kesejahteraan Keluarga dan Keseimbangan Kerjaya”.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Terengganu, Tuan Muhd Nor Aswadi Md. Nor.
Penganjuran program ini merupakan usaha YADIM Negeri Terengganu memperluas perkongsian ilmu dan menyemarakkan penghayatan Islam dalam kehidupan bermasyarakat.
Diharapkan program seumpama ini terus memberi manfaat dalam membentuk keluarga dan masyarakat yang sejahtera.



KOMEN