Home » YADIM MADANI » Pentas Akhir Pidato Celik MADANI: Kedah Capai Pencapaian Membanggakan

Pentas Akhir Pidato Celik MADANI: Kedah Capai Pencapaian Membanggakan

KUALA LUMPUR – Kontinjen Negeri Kedah melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul gelaran Johan Kategori Sekolah Rendah dan Naib Johan kategori Sekolah Menengah Rendah pada Pentas Akhir Pidato Celik MADANI (PCM) 2026.

Kejayaan cemerlang di Kuala Lumpur pada 16 November itu disumbangkan oleh adik Nur Izzah Sumayyah Mohd Izuan dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi untuk kategori Sekolah Rendah, manakala adik Muhammad Luqman Muhammad Ammar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Sarafudin Badlishah, Kulim pula bagi kategori Sekolah Menengah Rendah.

Negeri Kedah turut mempertaruhkan wakil bagi kategori Sekolah Menengah Atas menerusi adik Muhayya Md Zaid, pelajar dari SMK Tengku Sarafudin Badlishah, Kulim. Ketiga-tiga peserta ini diiringi oleh guru pembimbing masing-masing iaitu Puan Rosimah Saad, Encik Azhari Zain dan Puan Hafizah Abdul Wahab.

Secara keseluruhannya, pentas akhir edisi kali ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan seramai 35 pemidato muda dari seluruh negara yang berentap menampilkan bakat serta ketajaman minda masing-masing.

Majlis kemuncak pertandingan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Puan Marhamah Rosli.

Turut hadir memberikan sokongan padu kepada kontinjen negeri ialah Pengarah YADIM Negeri Kedah dan Perlis, Dr. Ahmad Mujahid Abdullah, bersama Penyelaras Program, Ustaz Mohamad Bilal Mohd Zain.

Kemenangan ini sekali gus membuktikan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dalam kalangan pemidato muda dari Negeri Jelapang Padi serta menjadi pemangkin semangat untuk terus melahirkan generasi berilmu dan beradab.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *