Home » Citra Yadim » Resolusi UMRAN 2026 akan dibawa kepada Perdana Menteri – Dr. Zulkifli Hasan

Resolusi UMRAN 2026 akan dibawa kepada Perdana Menteri – Dr. Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA – Resolusi Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2026 akan diangkat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penelitian lanjut bagi memperkasa hala tuju pembangunan pendidikan pondok di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkembangan institusi pondok sentiasa dekat di hati Perdana Menteri dan mendapat perhatian serius kerajaan.

Menurutnya, komitmen itu terbukti menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif berstruktur termasuk penubuhan Jawatankuasa Syura Nasional Pondok MADANI serta Sekretariat Pondok MADANI.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan UMRAN 2026 di sini, semalam, selepas program tersebut berlangsung selama tiga hari bermula 23 November lalu.

Penyertaan Meningkat

Penganjuran UMRAN edisi kali ini menyaksikan peningkatan memberangsangkan apabila menghimpunkan hampir 300 guru pondok dan ilmuwan daripada 131 institusi pondok di seluruh negara, berbanding hanya 103 pondok dan kira-kira 200 peserta pada tahun lalu.

Program bertemakan “Membangun Adab, Membina Negara: Memperkasa Khazanah Turath” itu dimulakan sejurus berakhirnya Majlis Khatam Sama‘ Hadis Jami‘ At-Tirmidhi dan Syamā’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026.

Perluas Peranan Guru Pondok dalam Dakwah

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Zamri Zainal Abidin dalam ucapan aluannya berkata, pihaknya melihat ruang yang luas untuk melibatkan golongan guru pondok dalam gerak kerja dakwah di seluruh negara.

Jelas beliau, kepakaran para ilmuwan pondok tidak seharusnya terhad kepada pengajian kitab semata-mata, sebaliknya wajar dimanfaatkan dalam pengisian tazkirah, pendidikan kekeluargaan, pembangunan pendakwah serta aktiviti kemasyarakatan.

Turut hadir pada majlis penutupan tersebut ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Ahli Syura Nasional Pondok MADANI, Syeikh Mohd Jamil Sadaqi Tajuddin Al-Jarumi; serta Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *