PUTRAJAYA – Penganjuran Majlis Sama‘ Hadis Jami‘ At-Tirmidhi dan Syamā’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 menjadi wadah penting dalam menyemarakkan lagi kecintaan umat Islam terhadap hadis dan sunah Rasulullah SAW, selain menghimpunkan para ulama serta pencinta ilmu dari dalam dan luar negara.
Ulama terkenal dari Indonesia, Syeikh Nuruddin al-Banjari menyifatkan penganjuran selama 11 hari itu sebagai satu kebanggaan buat masyarakat Nusantara, khususnya Malaysia selaku tuan rumah bagi himpunan ilmu berprestij tersebut.
Menurut beliau, majlis ilmu seumpama ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai aktiviti membaca kitab semata-mata, sebaliknya perlu menjadi medan untuk memahami, menghayati, dan mengamalkan kandungan hadis dalam kehidupan seharian.
“Kesejahteraan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kemajuan pembangunan dan teknologi, tetapi perlu disertai kekuatan rohani, pengimarahan rumah Allah serta kesungguhan masyarakat mempersiapkan bekalan untuk kehidupan akhirat,” katanya ketika ditemui selepas majlis khatam pada 23 November lalu.
Sementara itu, pendakwah terkenal, Habib Ali Zainal Abidin menegaskan bahawa tradisi membaca kitab hadis secara bertalaqqi dari awal hingga akhir merupakan warisan ulama terdahulu dalam usaha menghidupkan sunah Rasulullah SAW.
Beliau berharap para peserta tidak hanya hadir untuk mendengar dan mencatat penyampaian, tetapi turut bertanggungjawab menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada masyarakat.
“Usaha ini amat penting bagi memastikan manfaat majlis ilmu tidak terhenti dalam kalangan peserta sahaja, sebaliknya terus berkembang kepada seluruh lapisan umat,” ujarnya.



KOMEN