Home » Citra Yadim » Kem Bestari Adab Sempena Program Dakwah Negara 2026

Kem Bestari Adab Sempena Program Dakwah Negara 2026

ALOR SETAR – Program Kem Bestari Adab sempena Program Dakwah Negara 2026 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis telah berlangsung dari 16 hingga 24 November di Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar, Alor Setar.

Penganjuran ini merupakan inisiatif YADIM Negeri Kedah dan Perlis dengan kerjasama WADAH Kedah dan Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah YADIM Negeri Kedah dan Perlis, Ustaz Mohamad Bilal Mohd Zain pada 24 November.

Sepanjang berlangsungnya kem ini setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 2.30 petang, para peserta telah dibimbing oleh barisan tenaga pengajar dan rakan strategik menerusi dua modul utama iaitu Daurah Kitab “Adab Mufrad” yang dibimbing oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohammad Hasan Mohammad Hussain dan Ustaz Aizat Naqiuddin Mansoor bagi memupuk penghayatan adab serta akhlak mulia.

Kursus Pengurusan Jenazah pula dikendalikan oleh pembimbing daripada rakan badan bukan kerajaan Primadona Prihatin untuk memberikan pendedahan dan kemahiran praktikal berkaitan pengurusan jenazah secara sempurna.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membina sahsiah, ilmu dan kemahiran fardu ain peserta, selari dengan aspirasi Melestari Gerakan Dakwah serta semangat MADANI Membantu.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *