PUTRAJAYA – Para ulama dan pendakwah diseru agar tidak lagi sekadar berperanan di dalam lingkungan masjid atau institusi pengajian, sebaliknya perlu tampil sebagai pemimpin masyarakat yang mendekati umat serta memanfaatkan platform media sosial secara tersusun bagi mendepani cabaran semasa.
Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi berkata, zaman ini menuntut keberanian dan tindakan berstrategi daripada golongan ilmuwan Islam dalam menangani pelbagai ancaman kompleks yang menggugat akidah, institusi kekeluargaan dan perpaduan ummah.
Beliau menyampaikan amanat tersebut menerusi sesi Tausiyah Muallim sempena Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2026 yang berlangsung di sini.
Tiga Kelompok Cabaran dan Ancaman Akidah
Mengulas realiti semasa, Syeikh Dr. Ali menjelaskan bahawa umat Islam kini berdepan tiga kelompok cabaran utama iaitu golongan yang memusuhi Islam, pihak berpengaruh yang zalim, serta golongan yang mengutamakan hawa nafsu.
Katanya, ancaman tersebut turut hadir dalam bentuk fahaman yang mengetepikan peranan Allah SWT dalam kehidupan serta usaha meruntuhkan sistem kekeluargaan yang menjadi asas kesejahteraan masyarakat.
Selain itu, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap konflik dalaman dan perpecahan umat Islam akibat perbezaan aliran serta pendekatan.
“Sikap saling menghukum, mengkafirkan dan menyesatkan sesama sendiri hanya akan melemahkan kekuatan ummah serta membuka ruang kepada musuh untuk mengambil kesempatan,” tegas beliau.
Dakwah Digital dan Keprihatinan Terhadap Palestin
Dalam masa yang sama, beliau menekankan agar golongan pendakwah memahami realiti generasi muda dan menguasai ruang digital sebagai medan menyebarkan ilmu serta mempertahankan nilai-nilai Islam.
Gerak kerja dakwah katanya, perlu dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama erat antara ulama, imam, pendakwah dan golongan berpengaruh agar mesej Islam sampai kepada segenap lapisan masyarakat.
Menyentuh isu sejagat, Syeikh Dr. Ali mengingatkan umat Islam agar tidak memandang sepi penderitaan rakyat Gaza serta ancaman berterusan terhadap Masjid al-Aqsa, sebaliknya terus memupuk kesedaran dan keprihatinan terhadap nasib saudara seagama.
Mengakhiri tausiyah tersebut, beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar umat Islam bukan sekadar terletak pada keluasan ilmu semata-mata, tetapi pada kesatuan dan kebijaksanaan menterjemahkan ilmu tersebut kepada tindakan nyata demi kesejahteraan ummah.



KOMEN