Home » Citra Yadim » Ulama Dan Agamawan Perlu Lebih Aktif Dalam Mendekati Masyarakat

Ulama Dan Agamawan Perlu Lebih Aktif Dalam Mendekati Masyarakat

PUTRAJAYA – Para ulama dan agamawan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, serta memanfaatkan media sosial sebagai ruang menyampaikan ilmu dan membimbing umat menghadapi cabaran semasa.

Perkara itu disampaikan oleh Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Ali Al-Qaradaghi, menerusi Tausiyah Al-Muallim sempena Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2026 di Putrajaya pada 24 November.

Menurut beliau, cabaran umat Islam hari ini memerlukan peranan ulama yang lebih tersusun dan berkesan, bukan sekadar bergantung kepada pendekatan tradisional, sebaliknya turut turun ke lapangan serta mendekati masyarakat di tempat mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa dakwah pada masa kini tidak boleh terbatas kepada ruang tertentu, sebaliknya perlu memanfaatkan pelbagai saluran termasuk media sosial bagi menyampaikan mesej yang membina, khususnya kepada generasi muda.

Dalam menghadapi isu kemanusiaan dan cabaran global termasuk perkembangan di Gaza dan Palestin pula, Syeikh Dr. Ali mengingatkan bahawa ulama mempunyai tanggungjawab untuk mendidik masyarakat serta membantu membentuk umat yang lebih bersedia menghadapi keadaan semasa.

Syeikh Dr. Ali turut menekankan kepentingan membangunkan sistem pendidikan yang baik, dengan pendekatan berhikmah dan terbuka, bagi melahirkan masyarakat yang berilmu serta mampu bergerak ke hadapan.

Beliau juga menyampaikan mesej bahawa Islam membawa nilai keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh manusia, termasuk masyarakat bukan Islam, serta mengajak umat untuk terus membina kehidupan bersama secara harmoni.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan turut menghadiri tausiah ini. Ia turut dihadiri Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Haji Amidi Dato’ Abdul Manan, Penasihat Persatuan Pondok-Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, , Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin serta Yang Dipertua Kesatuan Ulama’ Muslimin Sedunia (Cawangan Malaysia), Ustaz Wan Subki Wan Sulaiman.

Menerusi tausiyah ini, para peserta UMRAN 2026 diingatkan bahawa peranan ulama bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut mendampingi masyarakat, membina pendidikan yang tersusun dan menyumbang kepada kesejahteraan umat dalam semangat Membangun Adab, Membina Negara.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *