GOMBAK: Institusi pengajian tinggi perlu menilai semula pendekatan pendidikan bagi memastikan graduan bukan sahaja menguasai ilmu, malah mampu berfikir secara kritis, menilai kesahihan maklumat serta membuat pertimbangan berlandaskan nilai moral dan etika dalam era kecerdasan buatan (AI).
Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata perkembangan AI yang semakin pesat bakal mengubah landskap pekerjaan, keperluan kemahiran dan cara individu memperoleh ilmu, sekali gus menuntut universiti mempersiapkan mahasiswa untuk menghadapi perubahan tersebut.
“AI masih berada pada peringkat embrio, namun berkembang pada kadar yang luar biasa dan pantas, memperluas keupayaan manusia dan sempadan ilmu pengetahuan yang belum diketahui, yang akan membawa kita ke arah masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-42 di Kampus Gombak, di sini, pada Ahad.
Menurut Abdul Rashid, universiti tidak lagi boleh berfungsi sekadar sebagai institusi penyampai maklumat, sebaliknya perlu membentuk mahasiswa yang berupaya mempersoalkan, menilai dan memahami maklumat secara kritis, selaras dengan tradisi pemikiran Sokratik.
“Tidak memadai sekadar menjadi penerima maklumat.
“Universiti perlu melatih mahasiswa menggunakan pemikiran mereka untuk mempersoalkan maklumat yang relevan, selaras dengan tradisi pemikiran Sokratik,” ujarnya.- AWANI



KOMEN