BAYAN LEPAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa institusi wakaf diperkasa semula sebagai teras kekuatan ekonomi menerusi tatakelola yang tegas dan berintegriti.
Beliau berkata, sejarah Islam membuktikan dana wakaf yang diurus dengan baik mampu membangunkan institusi terkemuka dunia seperti Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti al-Qarawiyyin di Maghribi.
Katanya, walaupun masyarakat Islam terdahulu berdepan kekangan sumber, pentadbiran yang telus serta sifat amanah berjaya menjadikan wakaf sebagai pemangkin ekonomi yang mampan.
“Dalam tradisi Islam, wakaf menjadi tunjang kekuatan ekonomi yang membina universiti dan pusat ilmu. Malah Al-Azhar yang kini bernilai berbilion ringgit bermula dengan dana wakaf serta tatakelola yang baik,” katanya berucap pada majlis pelancaran Semarak Wakaf Perdana 2026 di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan dana yang besar semata-mata akan gagal tanpa pengurusan cekap, keberanian dan integriti, sambil merujuk dana khas Bumiputera Pulau Pinang berjumlah RM145 juta yang diperuntuk bagi pembangunan wakaf.
Beliau menjelaskan dana berkenaan berpunca daripada dasar yang diperkenalkannya pada awal 1990-an, iaitu sumbangan daripada kuota perumahan Bumiputera yang tidak terjual dikumpulkan ke dalam tabung amanah pembangunan khusus, berbanding dibatalkan begitu saja.
Bagi meletakkan Pulau Pinang sebagai penanda aras kebangsaan, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM30 juta dan mengesahkan Kementerian Kewangan akan memudahkan kelulusan tender khas bagi mempercepat pelaksanaan tanpa menjejaskan tatakelola.
“Saya sudah beritahu mereka, memandangkan perkara ini sudah diluluskan, segerakan. Saya mahu ia dipercepatk supaya kita dapat melancarkan projek lain dan menjadikannya model untuk negeri lain,” katanya.
Pada masa sama, Anwar membidas keras apa yang disifatkannya sebagai ‘budaya sesat’ yang menormalisasi rasuah kecil-kecilan dan sikap sambil lewa secara sistemik dalam pentadbiran awam.
Beliau memberi amaran sikap bertolak ansur terhadap ketirisan kecil dan komisen dalam perolehan kerajaan hanya menghakis integriti institusi yang sepatutnya membela nasib rakyat.
“Jangan kita terus mengagungkan mentaliti mencuri sedikit itu tidak mengapa, seolah-olah menjadi pegawai negeri bermakna mesti mencuri. Ini budaya sesat,” katanya.
Anwar turut mempersoal sentimen politik dan agama sempit yang menggambarkan tadbir urus inklusif sebagai menggadaikan Islam, sambil menegaskan didikan yang diterimanya dalam tarbiah dan usrah mengajar ketegasan dalam akidah seiring dengan keadilan serta sifat ihsan terhadap semua rakyat.- BERITA HARIAN



KOMEN