Home » Langit Terbuka » Aceh mahu pramugari bertudung

Aceh mahu pramugari bertudung

BEBERAPA pramugari beragama Islam memakai tudung semasa bertugas. (Gambar hiasan)

 

Mereka yang ingkar peraturan baharu itu akan ditangkap polis syariah

BANDA ACEH 31 Jan. – Sebuah wilayah Indonesia menyatakan semalam bahawa ia mengarahkan pramugari beragama Islam supaya memakai tudung ketika tiba di rantau berkenaan atau berdepan hukuman polis agama.

Wanita Islam di Aceh, Pulau Sumatera, diwajibkan menutup aurat, manakala wanita bukan Islam pula dibenarkan memilih pakaian sopan mereka.

Namun, sebahagian daripada pramugari beragama Islam yang tidak bertudung tidak berbuat demikian semasa persinggahan pendek di lapangan terbang wilayah itu sekali gus memaksa Aceh menguatkuasakan peraturan baharu tersebut, kata Mawardy Ali yang merupakan ketua Daerah Aceh Besar yang turut menempatkan ibu negeri wilayah Aceh, Banda Aceh.

“Saya berharap agar syarikat-syarikat penerbangan menghormati keunikan Aceh di mana hukum syarak dilaksanakan,” katanya kepada agensi berita AFP sambil menambah, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kira-kira enam syarikat penerbangan yang berkaitan.

“Kami akan menyebarkan peraturan ini kepada syarikat-syarikat penerbangan sepanjang minggu ini. Selepas itu, kami akan berbincang tentang hukuman sekiranya berlaku pelanggaran.

“Sekiranya pramugari beragama Islam enggan mematuhi peraturan ini, kami akan memberikan peringatan dan sekiranya mereka berulang kali melanggarnya, maka saya akan mengarahkan polis syariah supaya menangkap mereka,” tambah Mawardy.

Setakat ini, masih tidak jelas bilangan pramugari yang tertakluk di bawah peraturan itu.

Syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda dan syarikat tambang murahnya, Citilink mengadakan perkhidmatan di Banda Aceh yang menempatkan lapangan terbang utama di wilayah itu.

Garuda berkata, ia akan mematuhi undang-undang baharu itu dan mungkin menambah seragam khas bertudung kepada pramugarinya untuk penerbangan di Aceh.

“Garuda menghormati kebudayaan tempatan di Aceh,” kata jurucakap syarikat itu, Ikhsan Rosan.

Jurucakap Citilink, Benny Butarbutar, sementara itu berkata, syarikat penerbangan berkenaan sudah menggunakan seragam patuh syariah untuk pramugarinya yang berkhidmat di Banda Aceh sejak tahun 2015.

Syarikat penerbangan lain yang terkesan termasuk syarikat tambang murah Indonesia, Lion Air dan anak syarikatnya, Batik Air yang mengadakan penerbangan berkala antara Aceh dan tempat-tempat lain di kepulauan Asia Tenggara itu.

Dalam pada itu, AirAsia dan Firefly, kedua-duanya berpangkalan di Malaysia merupakan syarikat penerbangan asing utama yang mengendalikan penerbangan ke Banda Aceh. – AFP

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *