Home » Langit Terbuka » Arab Saudi, UAE turut sedia bantu Rohingya

Arab Saudi, UAE turut sedia bantu Rohingya

Pelarian Rohinya menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia.

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berminat untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya berikutan kejayaan Malaysia membina sebuah hospital medan di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia sekali gus membuka peluang Malaysia untuk terus komited melaksanakan misi bantuan bersama negara lain dalam situasi dunia tanpa sempadan yang disifatkan sebagai ‘perkampungan global’.

Menurut beliau, usaha tersebut juga secara tidak langsung dapat menarik minat negara dunia ketiga dalam memberi bantuan kemanusiaan.

“Misi bantuan yang kita laksanakan ini mendapat sambutan daripada negara lain kerana hala tuju kita jelas dan ikhlas.

“Jika sebelum ini kita wujudkan hubungan trilateral bagi tugas menangani ancaman keselamatan, mungkin selepas ini kita boleh jalinkan kerjasama trilateral bersama negara lain dalam misi bantuan untuk masyarakat Rohingya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembangunan Kompleks Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim.

Kompleks tersebut yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM30 juta dijangka siap Oktober tahun depan dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 200 unit bilik serta 115 tempat letak kereta berbumbung.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pembinaan kompleks tersebut yang merupakan salah satu agenda kebajikan anggota tentera menjadi bukti kejayaan hasil kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perwira Niaga Malaysia (Pernama).

Menurut beliau, penyediaan kompleks berkenaan juga secara tidak langsung dapat memastikan anggota dapat memberi fokus kepada tugas menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *