Home » Citra Yadim » ADMY sebagai contoh pendakwah muda ikutan ramai

ADMY sebagai contoh pendakwah muda ikutan ramai

HULU LANGAT – “YADIM mahu lahirkan duat yang bukan sahaja mahir bercakap (dakwah), tetapi ada penampilan yang boleh dijadikan contoh.

”Kita nak lahirkan duat yang berbeza, kita mahu yang istiqamah, selagi dia jadi duat YADIM, dia jadi imej yang mewakili agensi ini, sentiasa istiqamah,”.

Demikian harapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr Naím Mokhtar kepada para pelatih Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Watikah ADMY 2023 serta Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks Baru Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH).

Seramai 28 orang pelatih ADMY menerima watikah masing masing yang disampaikan oleh Dato’ Setia Dr Naím dalam majlis tersebut.

Hadir sama majlis ini ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, timbalannya, Prof. Madya Dr. Adi Anuar Azmin, Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Zamri Zainal Abidin, Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan YADIM, Kapten (B) Shamsuddin Moner dan pengurusan badan dakwah ini.

Tidak ketinggalan ialah wakil wakil penaja SDMY 2023 seperti Bank Simpanan Nasional, MyAngkasa Amanah Berhad (Syarikat subsidiari ANGKASA), Bank MBSB ,Syarikat Faiza Sdn Bhd dan Yayasan Angkasa.

Hadir sama ialah rakan rakan strategik program iaitu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Tenaga Pengajar Multimedia Universiti, TV Al Hijrah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Ez Prihatin dan Ez Kembara Sdn Bhd.

Dalam majlis ini, Dato’ Setia Dr Naím juga berpesan agar para pelatih memanfaat peluang menyertai ADMY kerana ia sangat sukar diperoleh.

Ujarnya lagi, mereka bukan sahaja perlu istiqamah, tetapi juga bertahan dengan pelbagai ujian sebagai pendakwah dan peserta ADMY seperti cabaran menjadi terkenal dan kewangan.

Sementara itu dalam majlis yang sama menyaksikan badan dakwah ini menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Yayasan Ez Prihatin dan Ez Kembara Sdn Bhd dalam usaha menyebar luaskan pasaran kembara Muslim ke peringkat antarabangsa.

Bidang kerjasama pelancongan ini nanti adalah lawatan ke masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, lawatan ke muzium atau bandar mesra. INDAH juga bakal berperanan sebagai pusat dakwah kepada para pelancong ini.

Tidak ketinggalan ialah upacara pecah tanah kompleks INDAH yang baharu, dengan gimiknya disempurnakan oleh Dato’Setia Dr Naím sendiri.

Datuk Hasanuddin dalam ucapannya memaklumkan, dengan kos sebanyak RM14 juta, pembinaan dan pengubahsuaian INDAH akan dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan pusat ini nanti menjadi kompleks dakwah moden yang boleh memuatkan hingga 200 peserta dengan selesa.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *