Home » Langit Terbuka » ADUN Johor diminta solat Subuh berjemaah bersama rakyat setiap Jumaat

ADUN Johor diminta solat Subuh berjemaah bersama rakyat setiap Jumaat

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bergambar ketika hadir bagi membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

ISKANDAR PUTERI: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam negeri ini diminta menunaikan solat Subuh berjemaah bersama rakyat pada setiap Jumaat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan Johor memperuntukkan RM560,000 bagi melaksanakan inisiatif Semarak Subuh di 56 kawasan DUN, tahun depan.

“Selain itu, ADUN juga dapat bertadabbur al-Quran dan seterusnya menyantuni jemaah di masjid atau surau pada setiap pagi Jumaat dalam kawasan DUN masing-masing.

“Bagi ADUN wanita dan bukan beragama Islam pula boleh menghantar wakil dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing.

“Semarak Subuh ini amat penting dalam memacu pembangunan negeri, pentadbiran kerajaan Johor sentiasa memberi penekanan kepada dua dimensi utama iaitu menjaga hubungan antara manusia dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Onn Hafiz yang juga ADUN Machap berkata dianggarkan sebanyak 2,688 program Semarak Subuh akan dilaksanakan pada tahun depan.

“Selain itu, setiap masjid dan surau di seluruh pelusuk negeri akan disantuni dalam masa setahun.

“Pegawai daerah, kadi daerah, imam daerah dan pegawai agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat akan turut bersama dalam program ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *