Home » Langit Terbuka » Agensi Umrah di nasihat sedia terima pelaksanaan e-visa Arab Saudi

Agensi Umrah di nasihat sedia terima pelaksanaan e-visa Arab Saudi

PAPUH percaya Malaysia dipilih untuk keistimewaan ini berikutan pengurusan operasi umrah yang lebih teratur dan jemaah yang berdisiplin serta bersopan santun. - Foto ZamanServices

SHAH ALAM – Agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah di negara ini, dinasihatkan bersedia dan berfikiran terbuka dalam menerima pelaksanaan e-visa (elektronik visa) oleh Kerajaan Arab Saudi yang bermula bulan ini.

Presiden Persatuan Pelancongan, Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ia kerana langkah itu dilihat tidak akan merugikan agensi pelancongan terbabit berikutan umat Islam di negara ini hanya perlu membayar RM573 (bayaran visa umrah dan muassasah), setahun.

“Sebelum ini Kerajaan Arab Saudi mengenakan bayaran RM2,300 kepada jemaah yang ingin mengerjakan umrah berulang kali setiap tahun.

Tetapi dengan bayaran yang rendah menerusi perlaksanakan visa itu, ia membolehkan rakyat negara ini menikmati kemudahan keluar masuk ke Arab Saudi selama setahun serta boleh tinggal di sana tidak melebihi 90 hari,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, satu taklimat berhubung perkara itu diadakan di Hotel De Palma, Seksyen 19, di sini, yang disertai pengusaha agensi pelancongan dan umrah.

Beliau berkata, pemilihan Malaysia selain Brunei dalam pelaksanaan e-visa itu oleh kerajaan Arab Saudi, merupakan satu keistimewaan yang perlu dihargai.

“Pengusaha syarikat pelancongan membabitkan ibadah umrah ini, perlu melihat perkara ini secara positif dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata memandangkan Kerajaan Arab Saudi hanya memilih dua negara Islam sahaja.

Kita percaya Malaysia dipilih untuk kemudahan ini berikutan pengurusan operasi umrah kita lebih teratur dan rakyat kita yang berdisiplin serta bersopan santun ketika mengerjakan ibadah itu,” katanya.

Katanya, selain itu rakyat yang memiliki e-visa terbabit, boleh melancong ke mana-mana tempat menarik di Arab Saudi tanpa sebarang sekatan, selain daripada hanya menunaikan ibadah umrah.

Menerusi tawaran e-visa itu juga, ia dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negara.

Sebelum ini buat pertama kalinya, Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) mengumumkan melancarkan e-visa itu yang dikeluarkan melalui Konsulat dan Kedutaan Besar Arab Saudi di seluruh dunia.

Pemberian e-visa itu hanya diberikan kepada 49 negara yang mana Malaysia dan Brunei merupakan dua negara Islam sementara selebihnya adalah termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Denmark, Itali, Jerman dan Singapura. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *