Home » Langit Terbuka » Ahmad Sirajuddin dilantik Imam Besar Perlis

Ahmad Sirajuddin dilantik Imam Besar Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan bercemar duli bagi menyerahkan perutusan lantikan Imam Besar negeri kepada Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

KANGAR 26 Jan. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melantik Ahmad Sirajuddin Abdul Satar sebagai Imam Besar negeri ini dalam satu majlis di Surau Abi Kubang Badak, Jalan Padang Melangit di sini, malam tadi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan bercemar duli bagi menyerahkan perutusan lantikan tersebut.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Hadir sama Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam titah selepas majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berharap Ahmad Sirajuddin dapat memberi sumbangan idea serta mencurahkan pengalaman serta kepakaran beliau dalam memperkasakan institusi masjid di negeri ini selari dengan dasar dan kehendak MAIPs.

Sementara itu, menurut Mohd. Nazim, MAIPs membuat keputusan melantik Ahmad Sirajuddin dalam satu persidangannya pada 10 Ogos tahun lalu.

Beliau memberitahu, antara tugas-tugas utama Imam Besar yang juga bertanggungjawab kepada Pengarah JAIPs ialah sebagai ketua pentadbir masjid negeri di Arau serta mengawal selia pengurusan dan mengimarahkan masjid-masjid utama.

“Masjid utama ini ialah Masjid Alwi dan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar serta Masjid Terapung Al-Hussain di Kuala Perlis.

“Selain itu, mengurus hal ehwal pegawai-pegawai masjid di seluruh negeri, mengurus pelaksanaan garis panduan imam dan masjid seluruh negeri.

“Peranan yang lain ialah terlibat dalam urusan pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa kariah masjid seluruh negeri, mengajar, kursus imam dan bacaan doa,” katanya.

Ahmad Sirajuddin yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah Arab Saudi itu, dilahirkan di Kampung Batu Hampar Pendang, Kedah.

Beliau bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2009 dan sekarang ditempatkan di JAIPs sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah dan Takmir.

Sebelum ini, beliau pernah bertugas di Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) pada 2012 hingga 2016 sebagai Ketua Pentadbir dan Ketua Imam Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *