Home » Langit Terbuka » Perlu akta sekat berita palsu

Perlu akta sekat berita palsu

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan.

Contohi langkah Britain, Perancis

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Malaysia secara kritikal amat memerlukan peruntukan perundangan dan kaedah khas seperti yang diguna pakai Britain dan Perancis dalam mendepani ancaman berita palsu.

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, apa yang dilakukan London dan Paris menjurus kepada senario campur tangan negara asing yang cuba pengaruhi keputusan pilihan raya negara tersebut.

Jelas beliau, mungkin rakyat Malaysia akan meremehkan ke­perluan Malaysia untuk menuruti langkah kedua-dua negara tersebut kerana percaya tiada negara asing yang berminat mencampuri urusan pilihanraya Malaysia.

“Tetapi hakikatnya adalah, senario percaturan persepsi untuk pengaruh rakyat demi kepen­tingan politik pihak tertentu adalah begitu berleluasa berlaku.

“Timbul isu percaturan persepsi ini berlandaskan berita palsu iaitu fitnah dan tidak dinafikan berita seumpama ini telah mempengaruhi sentimen politik rakyat umum yang boleh menyebabkan keputusan yang dibuat ketika pilihan raya berlandaskan emosi dan bukan fakta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Perdana Menteri Britain, Theresa May yang mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron pernah berkata, mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

Azmi berkata, lebih menggerunkan lagi adalah senario percaya kepada berita palsu ini akan dengan mudah digunakan oleh pihak negara asing untuk manfaat mereka.

Oleh sebab itu, katanya, adalah kritikal bagi Malaysia mempunyai peruntukkan perun­dangan seperti dimiliki Britain dan Perancis. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *