Home » Langit Terbuka » Aidiladha: NS larang sembelih sendiri korban ternakan

Aidiladha: NS larang sembelih sendiri korban ternakan

Larangan melakukan ibadat korban sendiri di Negeri Sembilan bukan untuk menyusahkan orang ramai, sebaliknya mahu memastikan keselamatan diri yang perlu diberi keutamaan daripada Covid-19. - Foto Ask Legal

JELEBU – Umat Islam negeri ini tidak dibenarkan menyembelih sendiri ternakan yang dijadikan ibadat korban seperti kelaziman dilakukan pada Aidiladha selama ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir, berkata mereka yang berhasrat melakukan korban, perlu menghantar ternakan ke pusat penyembelihan diiktiraf bagi tujuan berkenaan.

Katanya, ibadah korban yang dilakukan secara sendiri atau berkumpulan sama ada di masjid, surau atau rumah boleh mendatangkan masalah lain berikutan wujud aktiviti berkumpulan beramai – ramai.

“Ia juga melanggar prosedur operasi standard ( SOP ) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) sekali gus memudahkan penyebaran COVID-19.

“Orang ramai boleh menghantar ternakan terbabit di empat pusat penyembelihan milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan tujuh milik swasta (yang beroperasi) di seluruh negeri ini,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Bakri menegaskan yang larangan melakukan ibadat korban secara sendiri itu bukan untuk menyusahkan orang ramai, sebaliknya mahu memastikan keselamatan diri yang perlu diberi keutamaan daripada virus pembunuh itu.

Dalam perkembangan lain, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang, berkata kerajaan negeri akan mengikuti keputusan Kerajaan Persekutuan, sama ada pasar tani atau pasar malam dibenarkan beroperasi atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *