Home » Ensiklopedia » Ajaran sesat

Ajaran sesat

sumber

Istilah “ajaran sesat” adalah satu istilah yang bersifat relatif (tidak mutlak) kerana terdapat banyak takrifan dan definisi yang telah diberikan oleh pelbagai pihak. Menurut Kamus Dewan, ajaran ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang diajarkan, nasihat, petunjuk, teori dan mazhab.

Manakal sesat pula ditakrifkan sebagai tidak mengikuti jalan yang betul, tersalah (tersilap) jalan, terkeliru (perbuatan, kepercayaan dan lain-lain) dan menyimpang daripada jalan yang benar.

Oleh itu, dapat disimpulkan di dalam penggunaan Bahasa Melayu, ajaran sesat itu suatu ilmu yang diajar dan disebarkan secara rahsia mahupun secara meluas kepada orang lain yang didapati menyimpang daripada kebenaran yang asal.

Ajaran sesat telah ditakrifkan oleh Bahagian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islamiah, bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Takrif di atas jika diperhalusi terdapat beberapa perkara yang perlu diperbetulkan selaras dengan konsep penyelidikan yang sebenarnya. Pertama, ayat “sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam” lebih sesuai diubah kepada sebarang ajaran atau amalan yang diasaskan dan didukung oleh orang-orang Islam.” Ini adalah kerana perkataan “dukung” bermaksud memikul atau menyokong dan berusaha dan sebagainya untuk menjayakan, memperkukuh, menegakkan dan memperjuangkan sesuatu fahaman.

Manakala ungkapan “orang-orang bukan Islam” pula dikekalkan di dalam takrif tersebut kerana terdapat juga sebahagian ajaran yang menyeleweng daripada Islam didukung oleh orang-orang bukan Islam dan akhirnya ia dianuti oleh umat Islam seperti ajaran komunisme, kapitalisme, sekularisme, Kristian dan lain-lain lagi.

Seterusnya, susunan rujukan utama dalam Islam dalam takrif asal didapati tidak teratur yang bermula dengan akidah Islam, kemudian al-Quran dan al-Sunnah dan diakhiri dengan mazhab yang muktabar dan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Sepatutnya, ia disusun sebagaiman berikut: “pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengan mazhab yang muktabar iaitu Ahli Sunnah wal Jamaah. Oleh yang demikian, ajaran sesat dapat ditakrifkan sebagai:

“Sebarang ajaran dan amalan yang didukung oleh orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam yang mendakwa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan itu bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah, bercanggah dengan akidah Islam dan berlawanan pula dengan mazhab yang muktabar iaitu mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.”

Prof. Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim pula mendefinisikan ajaran sesat sebagai ajaran dan amalan yang bertentangan dengan Islam. Dalam satu ketika yang lain, Prof. Dr. Abdul Fatah menghubungkaitkan ajaran sesat dengan tasawuf –tarekat. Ini adalah kerana masyarakat Islam dewasa ini meletakkan tasawuf –tarekat itu bukan pada tempatnya yang sebenar. Natijahnya, ilmu tasawuf-tarekat bertukar wajah sebagai ajaran sesat akibat penglibatan masyarakat awam yang bukan dalam kalangan ahli falsafah dalam permasalahan ilmu falsafah.

Berdasarkan definisi di atas, segala ajaran sama ada dari aspek akidah, ibadat dan tasawuf yang terjelma dalam anutan dan pegangan hidup yang diresapi oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan syariah Islam seperti Batiniah, Hinduisme, Neoplatonisme, penafsiran menyeleweng terhadap al-Quran, Hadith dan juga penggunaan Hadith palsu. Hasilnya, segala ramuan inilah yang teradun dan teranyam rapi menjadi citra kepada apa yang diungkapkan sebagai ajaran sesat.

Petikan daripada kertas kerja “Kajian Ajaran Sesat Dalam Pengajian Islam: Satu Sorotan”, tulisan Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.

 

 

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *