Home » Langit Terbuka » Al-Falah jadi dokumen panduan kerja 14 agensi JPM (agama)

Al-Falah jadi dokumen panduan kerja 14 agensi JPM (agama)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. — Bernama

KUALA LUMPUR: Buku Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang dilancarkan hari ini, diharap akan menjadi dokumen panduan kerja bagi 14 agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga berharap, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dapat bergerak pantas, menyelaras dan memandu gerak kerja sewajarnya berdasarkan pelan itu.

“Kita ada lima teras, 10 fokus gerak kerja dan lima nilai utama yang kita bangunkan. Kita ada 21 strategi, 31 program, 11 keberhasilan yang kita hendak capai. Kefahaman, penghayatan kepada pelan ini bukan tahap ketua agensi (sahaja).

“Kalau ketua agensi tidak bawa sampai ke bawah, sampai orang bawah tak pernah dengar Al-Falah, ia adalah kegagalan ketua agensi tersebut, maknanya tiada usaha yang dibuat untuk memastikan pelan yang dibina secara bersama ini sampai ke bawah,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Mengambil contoh aspek Pentadbiran Islam Mampan yang terdapat dalam Al-Falah, Mohd Na’im berkata semua agensi di bawah kementeriannya akan melaksanakan pemusatan data dan pendigitalan sistem pengurusan hal ehwal Islam.

Beliau berkata melalui pendekatan itu, setiap agensi akan berkongsi satu pelantar perkhidmatan di bawah satu pusat sehenti, yang memaparkan informasi dan perkhidmatan seperti tauliah, fatwa, falak, waqaf, haji dan data berkaitan program kebajikan.

Buku Pelan Transformasi Al-Falah berkenaan dibangunkan dengan kerjasama 14 buah agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang telah digerakkan bermula Mac 2023.

Turut diadakan pada majlis itu ialah penyerahan bangunan ‘Ilaj Home dari JAKIM kepada JAWI, Penyerahan Sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) kepada JAKIM, dan Penyerahan Sumbangan Wakaf kepada Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan).

– BERNAMA

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *