Home » Langit Terbuka » Tindakan Israel biadap, tidak bertanggungjawab – Mohd Na’im

Tindakan Israel biadap, tidak bertanggungjawab – Mohd Na’im

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan Israel ke atas Gaza, Palestin sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam termasuk kanak-kanak, kata Menterinya Datuk Mohd Na'im Mokhtar. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan Israel ke atas Gaza, Palestin sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam termasuk kanak-kanak, kata Menterinya Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
“Tindakan Israel adalah biadab serta amat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan berkaitan solidariti bersama umat Islam di Gaza yang dikeluarkan hari ini, yang turut menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia untuk mengutuk tindakan Israel dan menggesa agar serangan dihentikan.
Sebagai tanda solidariti kepada umat Islam di Palestin, Mohd Na’im berkata masjid utama seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini telah diarahkan untuk membacakan teks khutbah Jumaat bertemakan “Solidariti Bersama Umat Islam Palestin”.
Beliau berkata masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut diminta untuk melaksanakan perkara yang sama.
“Selain itu, solat hajat dan bacaan doa Qunut Nazilah akan dilaksanakan selepas solat Jumaat di masjid-masjid utama Jakim termasuk seluruh masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menyeru majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri untuk bersama-sama membacakan teks khutbah Jumaat bertemakan isu Palestin dan melaksanakan solat hajat serta bacaan doa Qunut Nazilah di masjid dan surau Jumaat masing-masing.
“Marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di Palestin,” katanya dan menambah Jakim juga akan melancarkan kutipan khas untuk membantu umat Islam di Palestin sebagai tanda kebersamaan dan kesatuan.
— BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *