Home » Wacana » Al-Quran, Injil, Taurat, Zabur

Al-Quran, Injil, Taurat, Zabur

Mengatur langkah keselamatan diri

Oleh AMIDA ABDULHAMID

Beriman (percaya) kepada kitab-kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi dan Rasul-Nya adalah satu daripada rukun Iman. Kita harus waspada bahawa yang wajar kita beriman (percaya)i adalah kepada semua kitab yang Allah turunkan kepada Nabi dan Rasul-Nya.

Kitab Allah yang kontemporari dan masih valid kita baca, hayati dan taati ialah al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW kira-kira 1438 tahun dahulu. Sebelum zaman Rasulullah SAW, Allah telah menurunkan beberapa kitab lain yang prominent iaitu Zabur yang diturunkan kepada Daud AS, Taurat yang diturunkan kepada Musa AS, dan Injil yang diturunkan kepada Isa AS.

Selain kitab-kitab yang penting dan termaktub di dalam al-Quran itu ialah suhuf-suhuf (lembaran-lembaran yang tidak berbentuk kitab) seperti sepuluh suhuf Ibrahim AS sebagaimana yang disebut pada ayat 19 surah al-A’la.

Orang yang beriman dituntut mempercayai kitab-kitab dan suhuf-suhuf Allah ini. Iman seseorang tidak akan sempurna tanpa memegang pada akidah yang turunnya dari langit iaitu dari Allah Maha Pencipta sekalian alam zahir dan ghaib. Keimanan ini melahirkan perpaduan yang unggul antara manusia merentas zaman; apa yang diturunkan kepada Daud AS, Musa AS, Isa AS, juga kepada Ibrahim AS adalah amanat yang sama tentang Allah SWT, suruhan Allah dan larangan-Nya.

Di antara kitab-kitab Allah ini, hanya al-Quran kekal kandungannya iaitu tiada tambahan dan tiada perubahan dilakukan ke atasnya. Kitab-kitab lain pernah mengalami perubahan yang dilakukan manusia. Injil  mengalami perubahan apabila ditokok tambah sehingga lahir empat versi Injil. Ulama Nasrani tidak pasti dengan ketulenan kitab Injil: Taurat yang menjadi rujukan orang Yahudi berbeda daripada Taurat yang digunakan orang Nasrani.

Kehadiran al-Quran adalah manifestasi keunggulan agama samawi yang berasal dari sumber yang sama iaitu Allah SWT dengan garis panduan keselamatan dunia dan akhirat yang sama. Al-Quran mengisbatkan kandungan kitab-kitab terdahulu. Allah SWT berfirman pada ayat 48 surah al-Maidah yang bermaksud: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya…”

Subhanallah, sesungguhnya kitab-kitab Allah itu sama isinya, sama amanatnya. Fakta demikian sudah sekian lama diterima. Namun hakikatnya, pernahkah kita membaca Zabur, Taurat, atau Injil untuk mengabsahkan kebenaran tersebut? Mungkin kita bermasalah untuk membaca Zabur dan Taurat kerana tidak dapat naskhahnya atau tidak menguasai bahasanya. Dan untuk membaca Injil pula kita berdepan dengan masalah mencari naskhah yang asal, bukan yang diberi tokok tambah.

Walau bagaimana pun ke empat-empat kitab Allah ini (al-Quran, Injil, Taurat, Zabur) membahaskan lapan masalah utama sebagaimana dipaparkan Imam Hatim Al-Asam kepada gurunya Imam Syaqiq Al Balkhi selama tiga puluh tahun (Ayyuhal Walad karangan Al Imam Hujjatul Islam Abd Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali:Khazanah Banjariah, Kedah 2013).

Setelah berpuluh tahun bergurukan Imam Syaqiq Al Balkhli, Hatim Al Asam menyimpulkan lapan faedah besar yang diperolehinya daripada sesi pengajiannya. Faedah pertama berkisar pada kekasih. Bagi Hatim Al Asam, sebaik-baik kekasih ialah yang bersifat setia, bukan sahaja untuk berhibur, malah setianya hingga ke kubur. Siapakah kekasih yang sanggup setia sedemikian rupa hingga ke kubur? Bagi Hatim Al Asam, hanya amalan soleh yang sanggup menemani tuannya ke mana sahaja, termasuk ke kubur.  Maka Hatim Al Asam menjadikan amalan soleh sebagai teman dan kekasihnya yang setia. Beramallah dia dengan amalan soleh agar amalan soleh itu dapat menemaninya dan menghiburkannya di kubur.

Faedah kedua berligar pada musuh manusia. Bagi Hatim Al Asam, musuh paling bahaya bagi manusia ialah nafsu seperti nafsu makan, nafsu berpakaian, nafsu berhibur, nafsu memperagakan kekayaan, nafsu emosi seperti amarah, dengki, dan meninggi diri. Manusia amat lemah apabila berdepan dengan nafsu. Dengan rakusnya nafsu dapat menundukkan keimanan manusia, menggoda manusia menunaikan pinta kehendak hatinya. Maka Hatim Al Asam berjuang menentang nafsunya yang dianggap sebagai musuh utamanya.

Hatim Al Asam mendapati manusia terlalu taksub mengumpul harta dunia. Bertolak dari nafsu yang tamak, manusia berlumba-lumba mengumpul mata benda dan amat kikir untuk menginfakkan hartanya. Ayat 96 surah An Nahl terdapat firman Allah yang bermaksud: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal…”

Ayat ini menyedarkan Hatim Al Asam akan sifat kesementaraan pada harta dunia seperti wang ringgit, pakaian, kenderaan, perabot dan perhiasan. Harta dunia akan luntur, layu, lebur, atau mungkin hilang dan rosak. Tiada yang kekal. Maka Hatim Al Asam mengorbankan harta bendanya, bermurah hati mengagihkan harta dunianya kepada mereka yang fakir dan miskin. Semoga sifat murah hatinya itu meraih pahala dari Allah yang kekal sifatnya.

Seterusnya faedah keempat yang diperolehi Hatim Al Asam ialah status kemuliaan manusia. Kebanyakan manusia bergantung kepada saudara mara yang berpengaruh dan berharta untuk menampilkan kekuasaan mereka menindas dan merendahkan orang lain. Ada juga yang menggunakan jawatan dan pangkat mereka untuk menakutkan orang bawahan dan mengambil kesempatan ke atas mereka, dan masih ramai yang menyangka bahawa dengan menabur budi mereka akan dapat mengekalkan kuasa dan pengaruh. Manusia begini menggunakan kuasa, harta dan jawatan untuk menampilkan status kemuliaan mereka.

Hatim Al Asam merujuk kepada ayat 13 surah Al-Hujurat yang memafhumkan firman Allah: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah SWT ialah orang yang paling tinggi takwanya…” Takwa dalam definisi paling mudah ialah mematuhi segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan Allah.

Bagi Hatim Al Asam, rezeki itu datangnya dari Allah SWT. Dia tidak perlu berasa hati terhadap mereka yang hidup mewah, yang berilmu luas dan yang berstatus tinggi dalam masyarakat. Dia bersyukur dengan kurniaan Allah dan reda dengan agihan rezeki dari Allah SWT.

Hatim Al Asam mengukuhkan pendiriannya tentang status halal pada rezekinya. Dia tidak turut berlumba-lumba untuk mengaut rezeki yang kadang kalanya tidak pasti mutu halalnya. Dia menyerahkan rezekinya kepada Allah dan mengisi waktunya dengan beribadat kepada Allah SWT.

Keimanan Hatim Al Asam semakin kental apabila dia menyerahkan segalanya kepada Allah kerana dengan bertawakal kepada Allah SWT, dia pasti Allah akan mencukupkan segala keperluannya. Bukankah Allah telah menentukan kadar bagi setiap sesuatu?

Melihat masyarakat kelilingnya, Hatim Al Asam terkesan bibit permusuhan: sering memaki hamun, sering mencaci nista, sering berhasad dengki. Kesejahteraan ummah terancam dengan gejala negatif ini walhal Allah SWT berfirman banyak kali dalam al-Quran seperti pada ayat 6 surah Fatir bahawa: “Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.”

Bukankah syaitan yang sering membisik di telinga supaya mengingkari suruhan Allah, syaitan mendorong mengabaikan ibu bapa, syaitan menghasut menzalimi anak yatim? Syaitan itu ternyata musuh yang sebenar. Maka Hatim Al Asam tidak lagi menghiraukan permusuhan manusia sekelilingnya.

Imam Syaqiq Al Balkhi akur dengan paparan muridnya itu. Dia menyimpulkan bahawa ke empat-empat kitab Allah memberi garis panduan keselamatan dan kesejahteraan hidup sebagaimana yang dibincangkan Hatim Al Asam. Sesungguhnya jika seseorang mematuhi garis panduan tersebut, maka bererti dia sudah beramal kepada empat kitab Allah itu.

Sesungguhnya ke semua kitab Allah mengaturkan langkah keselamatan diri di dunia dan di akhirat dengan mengenali sifat Allah dan bertawakal kepada-Nya. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *