Home » Langit Terbuka » Isu Baitulmuqaddis, ujian buat umat Islam

Isu Baitulmuqaddis, ujian buat umat Islam

PUTRAJAYA 22 Dis. – UMAT Islam di seluruh dunia tidak akan biarkan kota suci Baitulmuqaddis jatuh ke tangan Israel dan sokongan kini sedang diberikan bagi memastikan Baitulmuqaddis kekal milik Palestin.

Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al Agha berkata, sebagai rakyat Palestin, beliau secara peribadi terkesan dengan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Menurutnya, beliau juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana komited dan sentiasa mencari jalan untuk memastikan kota suci umat Islam itu kekal selama-lamanya milik orang Islam.

“Kami berharap kerajaan Malaysia dapat menyelaras apa sahaja usaha dan tindakan bersama kerajaan Palestin bagi memastikan keamanan berterusan di Palestin,” katanya ketika berucap pada Forum Khas Selamatkan Baitulmaqdis di ruang solat utama Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Forum berkenaan dikendalikan Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi.

Ia turut menampilkan enam panel forum dari pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya, Naib Presiden Parti Amanah Negara Hasanuddin Mohd Yunus; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Yusri Mohamad; Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Forum berkenaan turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, umat Islam di Malaysia perlu berjuang dalam isu ini kerana apa yang ditunjukkan kepada Baitulmaqdis kini adalah puncak kezaliman manusia.

“Saya percaya rakyat Malaysia berbilang kaum sentiasa membantah apa sahaja kezaliman dan isu kemanusiaan di seluruh dunia termasuk kezaliman Zionis di Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, peristiwa terbaru di Baitulmuqaddis adalah ujian terbaru umat Islam di seluruh dunia.

Katanya, bagi menangani isu ini, beliau percaya dan yakin kerajaan Malaysia tentunya mempunyai banyak saluran untuk suarakan tentangan dan pandangan melalui keahlian di beberapa organisasi dan pertubuhan di peringkat antarabangsa.

“Malaysia sendiri ada rekod cemerlang dalam menyelesaikan konflik kemanusiaan dan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Syria dan Bosnia selain isu Rohingya.

“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur himpunan ini. Kami juga ulangi pendirian walau berbeza parti politik namun, isu pertahankan umat Islam perlu ada titik pertemuan antara semua pihak termasuk pelbagai parti politik,” katanya.

Selain itu, Dr Yusri berkata, keangkuhan Amerika Syarikat (AS) menyokong kezaliman yang berlaku sejak 70 tahun lalu memang tidak patut diterima oleh mana-mana pihak yang bermaruah.

“Ini soal maruah umat Islam dan kita tidak mahu AS melayan umat Islam sebagai orang yang tidak bermaruah,” katanya. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *