Home » Ensiklopedia » Amal soleh

Amal soleh

sumber

Amal soleh tidak dapat diukur oleh banyaknya sumbangan yang kita berikan, akan tetapi diukur oleh banyaknya manfaat yang kita berikan kepada orang lain.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan amal soleh? Islam menjelaskan bahawa sesuatu amal yang dapat memberi manfaat yang besar untuk diri kita dan juga untuk orang lain itulah yang dimaksudkan dengan amal soleh.

Setiap perbuatan yang dapat menghapuskan penderitaan orang yang susah, semuanya dianggap ibadat yang amat bernilai di sisi agama dan berat timbangannya di sisi Allah SWT meskipun pada pandangan kita sendiri perkara itu remeh sahaja.

Terdapat satu riwayat yang menceritakan bahawa antara penghuni syurga itu ada seekor anjing. Anjing tersebut dikatakan ikut serta bersama pemuda soleh (Ashabul Kahfi). Anjing itu dikatakan memberi manfaat dengan menjaga mereka sehingga akhirnya kesemuanya termasuk anjing itu tertidur dengan kuasa Allah SWT.

Apabila seseorang individu beramal dengan amal soleh ataupun melakukan sesuatu kebaikan yang dapat memberi manfaat kepada dirinya dan masyarakat, maka individu itu dikira lebih baik daripada amereka yang tidak melakukan suatu amalan pun.

Ini kerana sumbangan itu memberi saham dalam menjamin kehidupan yang baik yang dikehendaki oleh Islam untuk dihayati oleh manusia. Kebaikan diri individu dalam Islam selalunya dihubungkan dengan kebaikan manusia lain. Neraca kebaikan itu pula ialah menjauhi diri daripada sebarang perkara buruk dan yang diharamkan oleh Allah SWT.

Al-Ash’ath bin Qeis, seorang pemuda kabilah Kindah dan merupakan antara pemimpin awal Islam pernah berkata, maksudnya: “Aku tidak mempunyai sebarang kelebihan berbanding kamu, tetapi aku sentiasa mesra dan manis muka terhadap kamu, membelanjakn hartaku terhadapmu dan aku sentiasa menunaikan hak-hak kamu. Maka sesiapa yang melakukan lebih daripada yang aku lakukan, maka tentulah ia lebih baik daripadaku. Tetapi sekiranya aku melakukan sesuatu itu lebih baik daripada mereka, maka sudah tentu aku lebih baik daripada mereka.”

Daripada Jabbar bin Abdullah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang bermanfaat bagi orang lain.” (Riwayat At-Tabrani).

Orang yang soleh bukanlah sejenis manusia yang paling panjang sujudnya, bukan orang yang banyak kali mengerjakan haji tetapi orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Ada manusia hidup di dunia tidak berguna langsung, di mana sahaja dia ‘membuat onar’ dan orang seperti inilah umurnya selalu panjang dan orang yang baik pula lebih cepat dijemput Allah ketika masih ramai orang memerlukannya.

Orang seperti ini menurut sabda Nabi SAW, perut bumi itu lebih baik baginya daripada permukaannya. Ia bermaksud kematian itu lebih baik daripada kehidupan. Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud: “Sejahat-jahat manusia ialah mereka yang panjang umurnya dan buruk amalnya.”

Banyak lagi hadis sahih menjelaskan tentang manusia yang ideal mengikut sunnah. Manusia yang idela adalah manusia yang berhati tulus dan berlidah lurus.

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW: “Apa yang dimaksud dengan berhati tulus?” Nabi SAW menjawab: “Hati yang taqwa, bersih, tidak menyimpan dosa, tidak zalim dan tidak dengki.” Nabi SAW ditanya lagi: Sesudah itu siapa?” Kata Nabi: “Yang mengembangkan kehidupan dunia sambil mencintai akhirat.” Kemudian sahabat meneruskan pertanyaan: “Sesudah itu apa lagi?” Nabi SAW menjawab: “Mukmin yang berakhlak baik.”

Manakala manusia yang paling jahat pula ialah orang yang suka menyebar fitnah, melaga-lagakan orang yang saling mengasihi, berbuat kejam dan mengganggu kesejahteraan orang lain. Sesungguhnya, insan yang soleh sentiasa kenal dan berwaspada akan ‘jerat’ yang berada di sekelilingnya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *