Home » Citra Yadim » Amanat pertama YDP ke-11

Amanat pertama YDP ke-11

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Dalam melaksanakan tugasan harian di tempat kerja, niat merupakan perkara utama yang harus dititikberatkan oleh individu khususnya warga kerja Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).  Niat inilah yang menjadi asas kepada segala sikap dalam melaksanakan amanah kerja di YADIM.

Demikian antara intipati ucapan Dr Yusri Mohamad, Yang Dipertua YADIM dalam satu Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Oktober bersama dengan lebih kurang 130 orang pegawai dan kakitangan YADIM di Dewan  Muktamar, Pusat Islam.

Dr Yusri turut menekankan tentang prasyarat yang menjadi formula kejayaan di dalam menjalankan tanggungjawab seharian iaitu kesungguhan melakukan tugasan yang diamanahkan dan mengikut landasan yang telah digariskan, iaitu patuh dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh majikan.

Beliau melahirkan rasa kesyukuran kerana telah diberi amanah selaku Yang Dipertua yang ke-11, selepas YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki melepaskan jawatan tersebut bagi menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sempena sambutan Maal Hijrah yang akan disambut oleh seluruh umat Islam pada hari esok, beliau mengingatkan tentang perlunya memperbaiki dan mempertingkatkan segala aspek dalam kehidupan sebagai umat manusia. Di samping sentiasa mencari ruang dan peluang untuk tujuan peningkatan diri sendiri.

Dr Yusri Mohamad, mula memegang jawatan selaku Yang Dipertua YADIM berkuatkuasa 1 Oktober yang lalu.

Dalam satu majlis berasingan, beliau bersama-sama dengan seluruh warga kerja YADIM meraikan mantan Yang Dipertua, YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki dalam satu ‘Majlis Lambaian Kasih, Sanjungan Budi’ anjuran YADIM.

YB Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki dalam ucapannya, menyatakan majlis penghargaan ini bukan sahaja meraikan beliau, malah meraikan seluruh penggerak kerja dakwah yang telah menjadi tulang belakang YADIM selama ini. Mereka termasuklah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Pengurusan Tertinggi YADIM, seluruh warga YADIM, pihak media, Ikon Dakwah dan Felo Dakwah.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu beliau sepanjang berkhidmat di YADIM. Di samping meletakkan harapan supaya sokongan dan dokongan yang sama diberikan kepada Dr Yusri Mohamad dalam meneraju YADIM mengikut acuan beliau sendiri.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, Dato’ Supiah Md Yusof dan Dato’ Jamil Rais, yang mewakili Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Johan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *