Home » Resensi » Kupasan terperinci Malik Bennabi dalam Fenomena Al-Quran

Kupasan terperinci Malik Bennabi dalam Fenomena Al-Quran

Malik Bennabi (1906-1973) seorang tokoh ilmuwan Islam yang berasal dari Algeria telah menulis tidak kurang daripada enam buah buku mengenai struktur masyarakat dan keilmiahan al-Quran dan menterjemahkan lebih tiga buah buku mengenai dinamik budaya dan pemikiran ke dalam bahasa Arab. Dilahirkan di Konstantin, sebuah kota di Algeria Timur dan mendapat pendidikan awal di Madrasah al-Quran di Perancis dan pada tahun 1930, melanjutkan pelajaran di Kolej Kejuruteraan di Perancis. Pada tahun 1931, berkahwin dengan wanita Perancis (memeluk Islam). Terlibat dalam pelbagai gerakan pembaharuan Islam dan mengadakan pertemuan dengan banyak tokoh pemikiran Islam.

Nuansa pengetahuan dan pengalamannya yang meluas, telah menjadikan beliau seorang pemikir pembaharuan Islam, sekali gus penggerak falsafah kemodenan Algeria. Malik mempunyai minat yang mendalam mempelajari dan membaca karya yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh terkenal, termasuk Syeikh al-Maulud bin al-Mauhub, Ibn Hasib dari Algeria, dan tokoh pemikir pembaharuan Mesir yang terkenal, Muhammad Abduh.

Antara buku karya Malik Bennabi yang terkenal ialah The Qur’anic Phenomenan: An Essay of a Theory on the Qur’an yang ditulis dalam pada asalnya dalam bahasa Perancis dan mula diterbitkan pada tahun 1947. Buku ini kemudiannya disunting dan diberikan ulasan terbaru oleh Mohamad El-Tahir El-Mesawi, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, diterbitkan pada tahun 2001. Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mengambil inisiatif menerbitkannya dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan oleh Rosiyah Abd. Latif pada tahun 2008.

Buku Fenomena al-Quran ini dibahagikan kepada 3 bahagian. Bahagian Pertama mengandungi dua bab (Bab 2 dan Bab 3) melandaskan perbincangan berdasarkan beberapa pertimbangan falsafah dan metodologi agama. Bahagian 2 (mengandungi 7 Bab, iaitu dari Bab 4 hingga Bab 10) membahaskan mengenai cirri-ciri kerasulan Muhamad s.a.w yang menjadi penerima wahyu, iaitu al-Quran. Bahagian 3 mengandungi 5 bab (dari Bab 11 hingga 15) membincangkan mengenai ciri-ciri risalah, iaitu kandungan wahyu.

Fenomena al-Quran yang dikaji oleh Malik Bennabi ini ialah percubaan yang menarik telah mendapat perhatian meluas bukan sahaja berdasarkan keilmiahannya, tetapi juga kerana memberikan penekanan yang mendalam mengenai pemikiran keagamaan dan falsafah al-Quran yang banyak menjadi minat pengkaji Barat atau Arab sendiri.

Pemikiran yang cuba dibawa melalui pendekatan Fenomena al-Quran ialah menghapuskan sikap imperialistik di kalangan umat Islam terutamanya berhubung dengan falsafah kemodenan. Kemodenan yang semestinya adalah berkait rapat dengan falsafah keilmuan barat dan teknologi rentas budaya, telah menyebabkan ia semakin kehilangan roh dan semangatnya, yang tinggal hanyalah mekanismenya sahaja.

Imperialistik semakin mengalami kemerosotan dalam zaman pasca moden di mana persoalan kemanusiaan bangkit semula. Kebangkitan dan kelahiran semula sikap kemanusiaan inilah cuba dikaji secara mendalam oleh Malik Bennabi, sikap sufistik yang dipanggil sebagai fenomena al-Quran.

Fenomena Kebangkitan Islam yang semakin rancak telah diremehkan dengan melakukan nilai tara dan kerangka pemikiran Barat, dan dengan itu, Malik Bennabi “pemikiran ini bukan sahaja mempengaruhi kehidupan bersifat material yang baru dan semakin diamalkan oleh pemuda Islam” malah menyebabkan pendukung budaya Arab “mendokong pandangan yang diasaskan oleh profesor Barat mereka.”

Orientalisme turut menyusup masuk ke dalam kehidupan intelektual di Negara Islam dan telah berjaya menentukan pula orientasi sejarah ke satu tahap yang penting, sehingga menimbulkan pelbagai polemik dan krisis. Bagi membetulkan sikap budaya dan nafas keintelektualan baru yang lebih dinamik, Malik Bennabi berjaya membuktikan bahawa wahyu Allah yang disampaikan melalui perantaraan Nabi Muhamad SAW, ”selama lebih 13 abad, al-Quran dianggap sebagai model penulisan paling sempurna dan tidak dapat dihasilkan dengan bahasa Arab oleh sesiapa pun.” (hal. 276).

Dengan menggunakan pendekatan psikoanaltik, dan membandingkan dengan falsafah Rene Descartes, ahli falsafah Perancis yang terkenal dengan aliran pemikiran berdasarkan keraguan, Malik Bennabi berjaya melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW, walaupun pada asalnya baginda ialah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai ilmu sebelum menerima wahyu pertama.

Pengikut aliran Descartes mengalami kerumitan dalam memahami fenomena agama dan kerana itu, Malik Bennabi berpendapat kebimbangan itu “kerana kita sentiasa berada dalam situasi tidak menentu apabila berhadapan dengan masalah berhubung dengan kenyataan yang berbeza dalam rangka kerja yang sama seperti panteisme, politeisme dan monteisme.” (hal. 45)

Berdasarkan falsafah fenomenologi yang dianuti oleh Hegel, Malik Bennabi berpendapat bahawa “jika suatu kenabian tidak boleh menyediakan ataupun menjelaskan apa-apa bukti, pengulangannya dalam keadaan tertentu membuktikan kewujudan fenomena tersebut secara umum. Justeru itu, perlulah diteliti secara serius keadaan berulang tersebut supaya boleh diletakkan sifat khusus bagi mewujudkan peraturan umum yang boleh digunapakai kepada keseluruhan fenomena itu.” (hal. 47)

Bagi menjadikan umat Islam berpegang teguh kepada akidah Islam, pengarang menggesa supaya dan mendesak agar al-Quran dikaji secara serius dalam kerangka kajian yang mantap dan falsafah keimanan. Dalam membangunkan kerangka tersebut, Malik Bennabi berpendapat “untuk membawa data yang tepat seperti tepatnya maklumat tentang diri Nabi Muhamad SAW dalam mengkaji fenomena al-Quran. Namun kajian ini penting sebagai satu sistem rujukan dalam kajian bersifat analisis ke atas sesuatu fungsi yang berbentuk geometri. Hakikatnya, fenomena yang sedang diteliti ini adalah berkaitan diri Muhamad. Untuk memutuskan bentuk perhubungan ini, langkah yang pertama adalah dengan mewujudkan suatu ciri awal merangkumi semua elemen yang diperlukan untuk memberi maklumat tentang diri tersebut. Pada masa yang sama bertindak sebagai objek, saksi dan hakim dalam hal yang dibincangkan.” (hal. 71)

Ini penting kerana “kita mempunyai alasan yang kukuh, kerana saksi dan hakim ini, memberi jaminan ke atas keterangan dan penghakimannya. Namun, ini tidak akan menghalang kita daripada mengambil langkah kedua serta mewujudkan ciri kedua yang membolehkan kita menilai fenomena ini secara langsung..Tidak ada keraguan yang patut timbul dalam menilai fakta sejarah yang sangat penting kepada persoalan ini khususnya tentang ketepatan pemikirannya serta kejujurannya.” (hal. 71)

Bagi mereka yang berfikiran kritis, kajian yang dipelopori oleh Malik Bennabi menngenai fenomena al-Quran ini tidak akan menghampakan. Sebagai sebuah analisis ilmiah yang menarik, buku ini memangnya merupakan bahan bacaan wajib malah lebih bernuansa berbanding kajian semantik al-Quran yang dibuat oleh seorang professor dari Jepun, atau kajian Fazlur Rahman, Pesan-pesan Terbesar al-Quran.

Dalam meletakkan kesedaran beragama, pengarang meletakkan perbandingan dengan dua sistem falsafah, iaitu sebagai suatu sifat dan naluri semulajadi manusia, dan sebagai sebahagian kecil daripada kejadian sejarah kebudayaan manusia. Falsafah pertama mengutamakan fizikal kerana semuanya dianggap ditentukan berdasarkan jirim, manakala bentuk yang kedua ialah sistem berbentuk metafizik yang memandang jirim itu ditentukan oleh suatu kuasa lain.

Falsafah berasaskan fizikal tidak boleh diterima oleh pengarang untuk melihat fenomena keagamaan kerana “ia adalah satu fenomena semula jadi”,”suatu yang dijadikan”, “ia bertukar dari suatu yang lain dan suatu sebab yang kreatif mutlak”, “suatu kuantiti tertentu yang tersusun tetapi tidak mampu bergerak, jirim akan menjadi suatu bahan yang hidup, iaitu protoplasma’, “dikawal oleh asas yang tidak bergerak” telah menyebabkan “jirim menempuh dua transformasi yang berlawanan.

Berdasarkan falsafah metafizik “membantu menjelaskan apabila peraturan fizikal tidak mampu memberikan penjelasan berkenaan sesuatu fenomena. Dari sini muncul suatu sistem yang berintegrasi dan harmoni, bebas daripada kelemahan dan percanggahan sistem terdahulu.” (hal. 40) Ini penting difahami kerana perbandingan dua sistem bukanlah perbandingan dua bentuk sains, tetapi ia adalah perbandingan dua kepercayaan, iaitu yang mempertuhankan jirim dan membuatkan Tuhan masuk campur.

Oleh itu, menurut Malik Bennabi hanya zaman masalah sosial dan gangguan moral yang “akan memperlagakan sains dan agama. Tetapi apabila ia berlaku disebabkan oleh perjalanan sejarah yang tidak dijangka, seperti Rusia pada akhir peperangan, dan di Perancis selepas Revolusi 1789, malangnya sains yang dipuja berpecah untuk memberi ruang kepada sains yang ringkas dan tulen: iaitu hamba yang merendah diri kepada pembangunan manusia.” (hal. 41)

Malik Bennabi turut membuat perbandingan mengenai kisah Nabi Yusuf a.s berdasarkan versi al-Quran dan kitab Injil (Bible). Perbandingan secara berurutan ayat telah menjadikannya satu perbandingan yang menarik untuk melihat perbezaaan dan ketepatan al-Quran. Ketepatan gambaran mengenai kisah Nabi Yusuf a.s, menurut pengarang “plot kisah ini adalah sama, malah tidak ada perbezaan sama sekali” tetapi antara versi al-Quran dan Bible tetap ada perbezaan yang jelas.”

Versi al-Quran mendedahkan sifat kerohanian yang dapat dilihat dalam kata-kata dan perbuatan manakala versi Bible lebih menekankan sifat orang Mesir, iaitu penyembah berhala yang menonjolkan budaya Yahudi. Misalnya mengenai ayat yang mentafsirkan mimpi raja, “alegori kemarau yang diberikan adalah kurang menyerlah: “Tujuh jagung yang kering memakan tujuh jagung hijau. Sebaliknya, dalam versi al-Quran raja hanya melihat tujuh tangkai yang kering menggantikan tujuh tangkai hijau.

“Oleh itu, versi Bible mempunyai ciri janggal, yang mengesahkan ciri-ciri meragukan dalam ayat berkenaan. Umpamanya, perkara ini dapat dapat dilihat dalam ayat berikut:”Orang Mesir dilarang makan bersama orang Yahudi: kerana ia adalah sesuatu yang keji bagi orang Mesir,” jelas pengarang.

Dua kisah yang digambarkan pengarang mengenai kesan mukjizat al-Quran ke atas Umar al-Khattab yang akhirnya memeluk Islam dan al-Walid bin al-Mugirah, pemimpin Quraisy yang mengagumi al-Quran, tetapi tetap menyatakan, “Dia (Muhamad) ialah seorang tukang sihir yang menanam bibit kebencian antara seorang anak dengan bapanya.”

Turut mendapat perhatian Malik Bennabi dalam kajian ini ialah mengenai beberapa perkara yang tidak dapat diduga, iaitu beberapa perkataan yeng diturunkan Allah s.w.t tanpa difahami oleh manusia, iaitu dua puluh sembilan surah. Ia dimulakan dengan simbol abjad ringkas, al-muqatta’at, seperti Alif, Lam, Mim, Ra, Kaf, Ta, Ha, Sin, Ya, Sad dan gabungan abjad, yang turut tidak difahami oleh Nabi Muhamad s.a.w.

Dalam hal ini pengarang berpendapat bahawa “kita tidak boleh mengatakan fenomena ini adalah suatu kebetulan psikologi atau fisiologi yang berlaku pada diri Nabi Muhamad SAW ataupun menjelaskannya sebagai kekurangan dalam penulisan dalam teks yang dianggap sempurna.” (hal. 277)

Seperti kata penterjemah dan penyusun buku ini, Mohamed Tahir El-Mesawi, “buku yang tidak ternilai harganya ini menerima status kecendekiawan yang selayaknya,” perlu dibaca dan dianalisis secara mendalam oleh setiap orang Islam. Syukurlah, walaupun terlewat 61 tahun sejak mula diterbitkan pada tahun 1947, atau 35 tahun selepas kematian Malik Bennabi barulah umat Islam Malaysia yang hanya mampu memahami bahasa Melayu boleh membaca analisis ilmiah mengenai fenomena al-Quran.

Meskipun sudah terlewat, intipati perbincangan dan perbahasannya masih lagi relevan, tidak boleh ketinggalan zaman. Ia tetap segar dan mampu menambahkan nuansa pengetahuan ilmiah kita, dan membolehkan kita tetap berpegang teguh kepada keimanan al-Quran bukan berasaskan keautentiknya, tetapi kerana keluasan makna dan kedalaman petunjuk di dalamnya.

Judul Buku   :  Fenomena al-Quran: Esei Tentang Teori Berkenaan al-Quran

Pengarang    : Malik Bennabi
Penterjemah : Dari Bahasa Perancis ke Bahasa Inggeris, Mohamad el-
                       Tahir el-Mesawi dan dari bahasa Inggeris ke Bahasa
                       Melayu, Rosiyah Latif.
Penerbit       : Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), 2008

Pengulas     : KAMARUN KH

Sumber daripada https://ummatanwasatan.net/

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *