Home » Langit Terbuka » Anak penoreh dari Malaysia pegang jawatan nombor 3 di PBB

Anak penoreh dari Malaysia pegang jawatan nombor 3 di PBB

Maimunah dilantikan Timbalan Setiausaha PBB sejak Januari lalu. - Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR – Pemilihannya sekali lagi sebagai Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, pada Januari lalu amat membanggakan negara, namun bagi Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, ia adalah mandat besar yang perlu digalas dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Tidak dinafikan, banyak cabaran yang perlu ditempuhi sejak kali pertama menjawat jawatan ketiga tertinggi di PBB itu pada 2017, dengan berbekalkan minat mendalam, selain kepercayaan dan sokongan diberikan keluarga, majikan serta kakitangan di bawahnya, segala tugas sehingga kini dapat dilaksanakan dengan baik.

Maimunah, 61, menjelaskan bidang tugasnya amat luas iaitu menerajui dan mengendalikan UN-Habitat di 93 negara serta melaksanakan mandat dan program PBB ke arah mewujudkan masa depan bandar yang lebih baik.

Misi UN-Habitat adalah untuk mempromosikan pembangunan penempatan manusia yang mampan dari segi sosial dan alam sekitar serta pencapaian tempat perlindungan yang mencukupi untuk semua meliputi di kota metropolitan, bandar dan luar bandar.

“Ketika memulakan tugas pada 2018, saya diminta untuk menggubal pelan strategik baharu bagi memandu pelaksanaan tugas. Visinya adalah untuk mempromosi kualiti hidup yang lebih baik untuk semua, dari segi perumahan, pekerjaan, kesihatan, pendidikan, kesejahteraan, migrasi dan sebagainya, bukan hanya membabitkan manusia, tetapi juga haiwan, tumbuhan di darat serta laut.

“Proses urbanisasi di peringkat global ketika ini amat pantas dan Asia serta Afrika adalah dua benua yang mempunyai kadar urbanisasi paling tinggi.

“Selain itu, saya juga melaksanakan tugas, antaranya seperti terkandung dalam Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim, agenda bandar baharu dan ke arah mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya yang bertugas di ibu pejabat UN-Habitat di Nairobi, Kenya.

Maimunah yang berada di Malaysia sejak 4 Ogos hingga hari ini, berkata kepelbagaian dalam tugas dan mempunyai kakitangan yang ramai di seluruh dunia.

Justeru, situasi itu membuatkan beliau sentiasa berusaha menambah ilmu bagi mentadbir organisasi itu dengan berkesan, namun pada masa sama tetap mengekalkan sikap rendah diri, disiplin dan komited dalam apa juga yang dilakukan.

“Ketika saya menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ahli Majlis ada 24 saja, yang semuanya rakyat Malaysia. Kini, kakitangan saya datang dari pelbagai negara, dengan ada dalam kalangan mereka dulu yang menjadi menteri di negara masing-masing dan ini adalah cabaran bagi saya.

“Masa mula bertugas, saya tidak menunggu kakitangan yang datang kepada saya, sebaliknya saya yang pergi ke setiap jabatan untuk memperkenalkan diri.

“Saya juga akan memastikan setiap tugas itu siap dalam tempoh yang diberikan. Saya tidak pernah meminta tempoh tambahan daripada mana-mana majikan saya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, segala perancangan juga perlu dilakukan dengan teliti dan pelaksanaannya perlu membuahkan hasil, bagi meraih keyakinan negara anggota untuk bekerjasama dan menyumbang dana diperlukan bagi projek serta program yang dirancang organisasi itu.

Bagi tujuan itu, Maimunah berkata, beliau melakukan reformasi dalaman ketika di peringkat awal tugasannya dan melihat kepada prosedur serta data asas bagi melihat kedudukan semasa UN-Habitat yang pada ketika itu berdepan masalah dana.

“Alhamdulillah, sekarang kita berada di kedudukan yang positif, malah ada negara yang dulunya tidak menyumbang secara sukarela, kini berbuat demikian.

“Ada juga negara yang menyumbang berdasarkan projek. Apabila melihat kemajuan dan hasil projek, mereka secara sukarela menyumbang dana tambahan kepada kita.

“Apa yang paling penting adalah kita perlu cekap, ikhlas dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas,” katanya.

Berasal dari keluarga susah, bapa penoreh getah

Berkongsi lanjut mengenainya, Maimunah tidak pernah terlintas di fikiran sejak di bangku untuk menjadi seorang perancang bandar, apatah lagi kerjaya itu membawanya sehingga ke peringkat antarabangsa seperti sekarang.

Selepas tamat sekolah di Sekolah Menengah Tunku Kurshiah di Negeri Sembilan, beliau sebenarnya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di sebuah universiti awam tempatan.

Bagaimanapun, tawaran biasiswa daripada RISDA untuk melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) dalam bidang perancangan bandar akhirnya membawa beliau merantau ke luar negara selama lima tahun.

“Saya berasal daripada keluarga yang susah dan bapa saya seorang penoreh getah. Ketika itu, sekitar 1979, RISDA mahu membangunkan estet untuk pekebun kecil dan menawarkan biasiswa berkenaan kepada anak pekebun kecil yang cemerlang dalam peperiksaan.

“Seorang sepupu saya yang membuat A Level di UK meyakinkan saya untuk ke sana, dengan menceritakan pengalaman baharu belajar di tempat orang seperti melihat salji dan Istana Buckingham,” katanya sambil berseloroh.

Beliau kemudian menerima tawaran berkenaan dan menyambung pelajaran peringkat A Level di Bournemouth and Poole College of Further Education selama dua tahun dan sarjana muda di University of Wales Institute of Science and Technology, Cardiff untuk tempoh tiga tahun. Daripada situ, minat beliau dalam bidang ini mula bercambah.

Mengimbau kisah bagaimana beliau terpilih menjadi wanita pertama dari Asia yang memegang jawatan di agensi di bawah PBB itu, Maimunah berkata, semuanya bermula apabila menerima e-mel daripada PBB, di New York pada 2017 dan mahu menemuduga beliau ke jawatan berkenaan.

Ketika itu, beliau bertugas sebagai Datuk Bandar di MBPP sejak Julai 2017. Sebelum itu, beliau ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak Mac 2011.

Masih jadi tanda tanya

“Seperti tidak percaya apabila mereka memberitahu untuk melantik saya sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat kerana saya tidak pernah memohon jawatan itu dan kedudukannya juga sangat tinggi.

“Selepas berbincang dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang pada ketika itu, Lim Guan Eng dan mendapat sokongan penuh daripada keluarga, saya menerima tawaran jawatan ini dan memulakan tugas di ibu pejabat UN-Habitat di Nairobi, Kenya pada Januari 2018,” katanya.

Maimunah berkata, beliau bertanya kepada majikannya, mengapa beliau terpilih untuk jawatan penting itu, daripada ramai lagi calon yang layak di seluruh dunia, namun perkara itu hanya dimaklumkan apabila beliau hampir tamat tugas kelak.

“Sehingga kini, saya tidak tahu sebab sebenar saya dipilih. Bagaimanapun, saya percaya, ia berdasarkan pembabitan aktif saya peringkat antarabangsa, antaranya pernah dijemput memberi ucapan pada Mesyuarat Agung PBB dan pelbagai forum lain serta jawatan pada peringkat ASEAN serta Asia Pasifik,” katanya.

Profil:

Nama : Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif

Umur: 61 tahun

Asal: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Pendidikan

– Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Kuala Pilah

– Sekolah Menengah Tunku Kurshiah, Kuala Pilah

– Pengajian A Level di Bournemouth and Poole College of Further Education, Poole

– Pengajian Sarjana Muda di University of Wales Institute of Science and Technology, Cardiff

– Pengajian Sarjana di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Kerjaya

– Perancang Bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) (1985)

– Pengarah Perancang Bandar di MPPP (2003)

– Pengurus Besar Perbadanan Warisan Dunia Georgetown (GTWHI) (2009)

– Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) (2011)

– Datuk Bandar MBPP (Julai 2017)

– Timbalan Setiausaha Agung PBB dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat (2018 sehingga sekarang)

-Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *